Sektor agromakanan sumbang RM45.5 bilion KDNK negara

16 hours ago 6

SHAH ALAM – Sektor agromakanan menyumbang RM45.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam suku pertama tahun ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sumbangan itu bersamaan 11 peratus KDNK negara dengan daripada jumlah itu menunjukkan subsektor tanaman, ternakan dan perikanan menyumbang sebanyak RM13.8 bilion.

Katanya, diikuti subsektor makanan dan minuman sebanyak RM9.7 bilion manakala subsektor perkhidmatan makanan sebanyak RM22.1 bilion seterusnya menyumbangkan

“Walaupun angka ini masih belum memadai tetapi ia menjadi bukti kepada usaha dan kerja kuat kita semua.

“Kita semua tahu, sektor agromakanan bukan hanya soal ekonomi. Ia soal kelangsungan hidup. Soal yang berkaitan dengan perut rakyat dan juga soal masa depan negara,” katanya ketika berucap pada majlis penutup seminar pengembangan agromakanan subsektor tanaman Jabatan Pertanian 2025 di sini, hari ini.

Menurut beliau, pihaknya juga sedang giat mengambil sawah-sawah terbiar di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor dalam merancakkan sektor padi itu.

Ujarnya, langkah itu susulan sebanyak 20,000 hektar tanah sawah hilang tanpa diganti akibat pemodenan dan perusahaan industri seterusnya menyebabkan Kadar Sara Diri (SSR) pengeluaran beras negara ini masih ketinggalan berbanding Indonesia.

“Negara itu (Indonesia) buka ladang sawah yang besar malah pertanian sawah pernah diletakkan dibawah Kementerian Pertahanan bagi keterjaminan makanan. Kalau kita boleh pergi menyeluruh, cukup beras kita dan kita berusaha keras ke arah itu,” katanya.

Ketika mengulas laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berhubung hampir separuh petani terdiri daripada golongan yang sudah berusia 60 tahun ke atas, Mohamad menjelaskan pihaknya sedang menggalakkan golongan muda menyertai penanaman tersebut dalam skala yang besar.

Tegasnya, isu petani tua ini juga berlaku di negara-negara lain dan sukar diganti dengan segera dalam tempoh dua atau tiga tahun.

“Jadi langkah-langkah kita adalah anak-anak muda yang terjun dalam sektor itu membuatnya dalam skala besar. Perkara ini dilihat berjaya di Negeri Sembilan dan Johor yang berjaya membuka kawasan baharu.

“Trend makin meningkat dengan mengaplikasikan penggunaan dron dan sebagainya seperti berlaku di Sabak Bernam dan beberapa tempat di Kedah sendiri. Kita nampak kilang padi ada yang membuat sawah padi yang pengusaha adalah orang muda,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |