‘Saya mohon maaf, jangan bergaduh fasal baju’

10 hours ago 6

KUALA LUMPUR – Didakwa meniru busana perkahwinan pempengaruh Ally Mukhriz, pelakon Ezlisa Loy enggan memberi komen sebaliknya hanya mahu berbahagia selepas bergelar isteri.

Tambah Ezlisa atau nama lengkapnya Nurul Ezlisa Loy Ahmad Sabri, 29, tindakan tersebut diambil bagi menjaga nama baik keluarganya dan keluarga suami.

“Isu dia tak besar tapi cuma apa yang saya nak ketengahkan kerja keras seseorang, orang yang buatkan baju saya dan saya hanya nak gembira pada hari bahagia saya.

“Saya takut nak bagi kenyataan sebab boleh jadi positif atau negatif.

“Saya pun baru berkahwin jadi saya nak jaga nama keluarga saya dan suami saya, tak nak bagi banyak kenyataan. Saya okey harap semua orang okey,” katanya kepada Kosmo! Online pada sidang akhbar Home Of Drama Astro, di sini, hari ini.

Pada masa sama, adik kepada pelakon Elfira Loy itu mengakui terkejut dengan kontroversi terbabit memandangkan sering mendoakan yang baik sepanjang hari bahagianya.

“Saya terkejut sebab bila dah kahwin saya risau orang cakap buruk fasal perkahwinan saya.

“Setiap hari saya doa tiada sebarang benda negatif mengenai perkahwinan saya. Kalau boleh tak nak apa-apa pergaduhan.

“Saya rancang semua saya amik dari Pinterest untuk baju saya, kain saya ambil daripada Rizman Ruzaini,” ujarnya lagi.

Selain itu, Ezlisa memaklumkan kakaknya banyak memberi nasihat selepas terpalit dengan kontroversi dan memohon maaf sekiranya ada kesilapan dari pihaknya.

“Dia ada bagi nasihat, sebagai kakak dia bersifat ‘protective’ (sangat melindungi) dan saya pun begitu.

“Kakak cakap bergembira di hari bahagia saya, jangan emosi sangat.

“Kalau ada terasa daripada pihak kami, saya mohon maaf supaya tak besarkan isu ini. Jangan gaduh fasal baju,” jelasnya lagi.

Semalam, kecoh dalam media sosial mengenai Ezlisa yang menggayakan busana tradisional songket rona biru muda disulami manik berwarna merah jambu dikatakan meniru busana perkahwinan cucu kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Situasi semakin hangat apabila pereka fesyen busana Ally iaitu Fizi Woo dilihat turut memberi reaksi terhadap hantaran dimuat naik oleh Ally seolah-olah memerli hasil rekaannya diciplak.

Bagaimanapun, Ezlisa berkongsi bahawa busana tersebut diinspirasi daripada pereka fesyen antarabangsa yang berasal dari Filipina, Michael Cinco.

Tidak mendiamkan diri, Elfira selaku kakak mempertahankan adik kesayangannya termasuk memuat naik sepotong ayat berbaur sindiran dalam Threads. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |