PETALING JAYA – Dua bulan selepas lamaran di Gunung Kinabalu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman akhirnya secara terbuka mengakui cintanya terhadap Bella Astillah sebenarnya berputik daripada rasa kasih buat dua anak kecil bernama, Ayden dan Ara.
Menjawab persoalam umum tentang pilihannya menjadikan wanita yang pernah berkahwin dan ibu tunggal anak dua itu sebagai calon isteri, Syed Saddiq sejujurnya berharap dua permata hati Bella sendiri, Mohamad Ayden Adrean, 9, dan Ara Adreanna, 6, akan dapat menerima kehadirannya dengan sebaik-baiknya.
“Saya mencintai Bella juga kerana kedua-dua anaknya, Ayden dan Ara. Mereka sangat istimewa dan saya harap mereka berdua boleh menerima saya.
“Mereka berdua merupakan kanak-kanak yang hebat dan alhamdulillah semua itu datang dari didikan ibunya sama seperti kebaikan yang saya ada datang dari kedua ibu bapa saya,” katanya dalam ucapan selepas upacara menyarung cincin.
Menyifatkan Bella sebagai ‘iron lady’ yang tidak pernah faham erti penat untuk bangkit daripada kejatuhan, Saddiq juga percaya kebaikan dalam diri Bella, baik kepada keluarga sendiri, keluarganya, orang terdekat bahkan kepada orang yang langsung tidak pernah dikenali juga mendorong hatinya untuk terus mencintai wanita itu dengan sepenuh perasaan.
“Bella itu wanita yang sangat baik, baik itu tidak boleh dipisahkan daripada dirinya. Dia baik kepada keluarga dia, keluarga saya, kepada orang yang dia tidak pernah kenal. Saya kenal Bella mula sebagai kawan sebelum jadi kekasih dia, itu juga sebab saya jatuh cinta kepada Bella,” ucapnya dengan penuh pujian.
Pada masa sama, Syed Saddiq turut memuji keluarga bakal mentua termasuk adik Bella, Didi Astillah yang sentiasa menjadi tulang belakang kekasihnnya selama ini.
“Kepada ayah dan mama yang sentiasa bekerja keras dan berada di sisi Bella. Terima kasih Didi kerana sangat baik, banyak rahsia Bella yang saya terlepas dia kongsikan.
“Saya sangat teruja untuk menjadi sebahagian daripada keluarga ini,” ujarnya lagi yang memulakan ucapan dengan mengakui diri sebagai lelaki paling bertuah di muka bumi kerana diterima menjadi calon suami Bella Astillah.
Sebelum itu, tepat pukul 3.30 petang, Bella atau nama lengkapnya, Dayang Nabellah Awang Astillah, 32, turun ke pelamin kecil tampil anggun menggayakan baju kurung rona hijau lembut lengkap berselendang.
Lima minit kemudian, ibu Syed Saddiq, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz duduk di sisi bakal menantunya bagi menyarungkan cincin.
Lebih manis apabila wanita terbabit terlebih dulu mengucup cincin tanda itu sebelum menyarungkan barang kemas tersebut ke jari manis Bella.
Syed Saddiq yang hadir membawa jambangan bunga kepada bakal isterinya pula muncul segak berbaju Melayu rona sama lengkap bersamping dan bersongkok.
“Doakan dilancarkan urusan kami. Bermula pertunangan ini dan berakhir dengan kami mendirikan masjid,” katanya lagi dalam ucapan penutup.
Biarpun tidak mendedahkan butiran berkaitan tarikh pernikahan mahupun resepsi, ahli politik itu memberi bayangan hari bersejarah mereka akan berlangsung tahun ini.
Bahkan menurut sumber, kedua-dua keluarga sudah rancak membuat persediaan untuk hari bahagia mereka nanti termasuk menempah venue acara.
Bakal pengantin terbabit bertukar hantaran iaitu lima dulang berbalas tujuh daripada Bella yang juga berkonsepkan Gunung Kinabalu simbolik tempat Syed Saddiq melamarnya pada Januari lalu.
Syed Saddiq pula turut menyerahkan Sijil Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) untuk anak Bella, Ayden dan Ara, sebagai simbol kasih serta keprihatinan beliau terhadap masa depan mereka.
Terdahulu, pasangan yang mula intim sejak awal tahun 2025 itu diraikan sekitar 150 tetamu termasuk selebriti yang hadir berbaju tradisional mengikut tema warna kuning.
Antara yang hadir ialah Fazura, Nora Danish, Elly Suriati, Nabil Ahmad, A Aida, Che Puan Syamim Farid, Betty Rahmat, Harris Baba dan ramai lagi.
Seawal pukul 2 petang lagi ruang acara dikelilingi pepohon hijau serta air terjun buatan itu didatangi jemputan yang teruja berkongsi kegembiraan selangkah ke gerbang perkahwinan. – KOSMO! ONLINE

10 hours ago
7

![[VIDEO] Suami beli baju ‘ala hospital’ demi sedondon dengan isteri di hospital](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-28-at-4.51.14-PM.jpeg)













































