KUALA LUMPUR – Penyanyi viral Indonesia Faris Adam yang popular menerusi lagu Stecu Stecu menangis terduduk saat video panasnya tersebar tahun lalu.
Menurut Faris, video panas tersebut adalah sejarah masa silamnya yang kembali dibongkar selepas namanya kian popular.
“Ketika itu nama saya sedang naik. Bila tengah naik, ramai juga yang ingin menjatuhkan.
“Ketika kejadian itu berlaku saya fikir karier saya pasti akan hancur. Bila saya buat persembahan di Indonesia, ramai juga penganjur acara bertanya kepada saya tentang video itu. Tetapi saya hanya boleh diam sahaja.
“Saya menangis dan banyak berdoa kepada Allah meminta pertolongan supaya saya dapat lalui ujian ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert Malam FYP Timur, di sini, semalam.
Berkat sering berdoa kepada Allah, Faris bersyukur kerana kariernya sebagai penyanyi masih berterusan sehingga kini.
“Alhamdulillah, sampai hari ini ‘job’ saya masih tidak putus,” ujarnya.
Faris juga bersyukur kerana dia mendapat sokongan padu daripada teman seindustri terutamanya, Silet Open Up (SOU).
Sementara itu, SOU yang popular dengan lagu Tabola Bale berkata, dia hanya mampu memberikan sokongan kepada sahabatnya ketika dilanda ujian berat.
“Hanya pohon yang berbuah yang dilempar dengan batu. Semakin tinggi pohon, anginnya juga semakin kencang.
“Bila hal seperti itu terjadi kepada Faris, saya hanya mampu memberikan sokongan supaya dia terus kuat dan jangan bersedih. Tak usah fikir macam-macam. Kamu dibayar untuk menyanyi, segala hal di luar tugas kamu, tak usah peduli. Tak perlu jawab pertanyaan orang,” jelasnya.
Tambah SOU lagi, sudah menjadi kebiasaan di Indonesia ada pihak yang akan menjatuhkan artis yang sedang mencipta populariti.
“Terlalu ramai yang cuba menjatuhkan. Tetapi kami sebagai penyanyi yang berasal dari timur Indonesia saling menyokong satu sama lain,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, kehadiran Faris dan SOU ke Kuala Lumpur bertujuan mempromosikan konsert Malam FYP Timur yang akan berlangsung di Zepp KL pada 26 April depan. Selain mereka berdua, konsert ini turut disertai oleh Ecko Show. Tiket boleh dibeli bermula 6 Februari 2026. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
1












![[VIDEO] 40 orang perunding ‘tumbangkan tualang kebal’ Gua Musang](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/tualang.jpeg)




































