‘Saya harap tak benar, kita doakan yang terbaik untuk dia’

4 hours ago 2

KUALA LUMPUR – “Saya harap, itu tidak benarlah.”

Demikian komen pelakon Diana Danielle berhubung dakwaan bekas suaminya yang juga aktor, Farid Kamil terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah.

Menurut Diana atau nama lengkapnya Diana Danielle Danny Beeson, 35, mengharapkan yang terbaik terutama untuk memastikan proses penjagaan anak bersama berjalan dengan lancar.

“Sebenarnya saya ada ditanya wartawan beberapa hari lepas tapi sejujurnya saya tak tahu apa-apa.

“Apa yang saya boleh cakap, saya doakan yang terbaik. Semoga kita semua, saya dan dia dapat ‘co-parenting’ dengan baik.

“Itu target saya lah, saya mengharapkan yang terbaik untuk dia, saya mahu dia selalu berjaya.

“Saya pun tak boleh komen lebih lanjut sebab tak tahu apa yang terjadi sekarang. Tapi sebab ditanya, saya cuma nak katakan saya tidak tahu,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis pelancaran produk Numinara, di sini, hari ini.

Tambah pelakon filem Imaginur itu lagi, Farid mengunjungi anak sulungnya, Muhammad yang mengalami lumpuh pada bahagian wajah.

“Ada (melawat Muhammad) sudah semestinya. Dia dan anak-anak sangat rapat. Setiap hujung minggu atau hari biasa mereka akan jumpa.

“Hubungan itu masih sama lagi, anak-anak tidak boleh hidup tapa dia dan saya nak semua tahu saya benar-benar mahu hubungan baik ini berterusan,” ujarnya.

Malah, Diana memaklumkan kehadiran bapa sangat penting buat anak-anak walaupun hubungan mereka bukan lagi sebagai pasangan suami isteri.

“Bila kita sama-sama dapat membesarkan anak dengan baik, akan jadi hasil yang baik untuk anak-anak.

“Saya akan sentiasa menyokong perjalanan kita bersama. Bagi saya, membesar bersama bapa adalah sangat penting,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pelakon lelaki ditahan reman selepas dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam bagi membantu siasatan berhubung kes berkaitan dadah.

Susulan laporan tersebut, ramai yang memetik nama Farid Kamil dalam media sosial.

Untuk info, Diana mendirikan rumah tangga dengan aktor dan pengarah, Farid Kamil pada 3 November 2012 namun bercerai talak satu buat kali kedua pada 24 Mac 2025.

Mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Muhammad, 13 dan Nur Aurora, 11. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |