PETALING JAYA – Dikecam kerana dikatakan menari dengan lenggok melampau, penyanyi Aisha Retno mempertahankan tarian tersebut dilakukan sekadar mengikuti tren TikTok yang sedang tular.
Malah, Aisha atau nama sebenarnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 25, memaklumkan keterujaan melancarkan album terbaharu berjudul Re.Hab merupakan punca dia tidak menyedari melakukan aksi berlebihan dalam video terbabit.
“Sebenarnya ramai yang belum lihat trend asal video tarian itu. Saya hanya buat ikut trend dalam media sosial.
“Mungkin juga disebabkan saya sedang gembira ketika itu, memandangkan video itu dirakam ketika acara listening party album saya, jadi saya buat saja,” katanya keada Kosmo! Online ketika dihubungi.
Pada masa sama, pelantun lagu Sutera itu memohon maaf atas kekhilafan dan berjanji akan memperbaiki diri pada masa akan datang.
“Apa pun, saya hargai teguran orang ramai dan memohon maaf kalau buat mereka kurang selesa.
“Apa-apa yang kurang dari diri saya, insya-Allah saya akan perbetulkan untuk masa hadapan,” jelasnya.
Berkongsi mengenai album tersebut, Aisha memaklumkan Re.Hab merupakan album studio pertamanya yang memuatkan lima buah lagu pelbagai genre.
“Lagu-lagu ini sedikit sebanyak ada yang bersangkut-paut dengan perasaan yang saya pernah lalui sendiri. Seperti lagu O.R.B.I.T adalah tentang rasa kita bermimpi ketika mencintai seseorang.
“Lagu Lengkapilah Kita (Missing Peace) pula, tajuknya sudah jelas menggambarkan rasa dalam hati ramai orang kerana sudah tentu kita mahu hidup berpasangan dan melengkapi antara satu sama lain.
“Lagu Titik Temu pula menceritakan tentang rasa tertanya-tanya sama ada masih mungkin kita bertemu dengan orang yang sama atau orang yang baharu untuk menjalin cinta,” jelasnya lagi.
Sebelum ini, penampilan Aisha dalam video TikTok bersama rakan penyanyi, Vanessa Reynauld r mengundang perasaan kurang senang dalam kalangan peminat.
Ramai yang kurang senang dengan tarian Aisha yang dianggap berlebihan berbanding Vanessa. – KOSMO! ONLINE