KUALA LUMPUR – Tidak terdesak untuk menembusi pasaran negara jiran, pelakon Sharnaaz Ahmad belum terfikir bergiat aktif dalam dunia lakonan untuk mana-mana naskhah di Indonesia ketika ini.
Sharnaaz atau nama penuhnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 40, berkata, dia merasakan tidak ada keperluan untuk terlibat dalam filem di sana selain mendakwa industri seni negara jiran menganaktirikan karya dari Malaysia.
“Kita bergagah nak berlakon di Indonesia? Kenapa?
“Tinggalkan filem Malaysia dan industri seni semata-mata nak cari rezeki di sana. Itu mereka, bukan saya.
“Saya akan kekal di sini dan mahu majukan industri seni seni tempatan sebelum mati,” katanya kepada Kosmo! Online di sini, baru-baru ini.
Tambah Sharnaaz, dia juga merasakan industri seni di sana menganaktirikan karya dari Malaysia.
“Kita terlampau agungkan filem luar, orang kita sendiri yang buat benda itu. Siapa mereka? Kalian rasa mereka kisah tentang karya kita? Mereka tidak kisah pun.
“Cuba bawa filem kita jual di sana, mereka hanya buka panggung kecil sahaja. Kenapa mereka tidak hormati karya kita?” katanya lagi.
Baginya, karya-karya tempatan juga mempunyai kualiti tinggi dan mampu bersaing di persada antarabangsa sekiranya diberikan peluang dan ruang.
“Industri kita mampu pergi dan ke depan tapi kita selalu agungkan yang luar.
“Walau filem Sheriff: Narko Intergriti sebelum ini, hanya satu panggung sahaja disediakan di sana tetapi bila karya mereka ke sini, buka semua panggung untuk mereka.
“Hebat sangat ke mereka? Maaf sebab terpaksa mengatakan hal ini kerana saya sayang industri saya,” ujarnya.
Dalam masa sama, Sharnaaz berharap lebih banyak filem berkualiti akan diterbitkan oleh pengkarya tempatan kelak untuk menarik kinat pencinta filem tanah air ke pawagam.
“Rakyat negara ini pun sayang industri seni tanah air tetapi mereka kerap ditipu dengan trailer, kualiti filem yang rendah dan bajet rendah. Saya minta maaf.
“Saya ada jumpa dengan pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan minta mereka tubuhkah satu badan untuk tapis daripada menayang filem yang tak layak dipertontonkan kepada rakyat.
“Buat apa setakat tapis maki dalam filem. Kalau tak layak jangan tayang atau sediakan platform lain,” ujarnya.
Ketika ini, filem lakonannya, Blood Brothers: Bara Naga sudah mencapai kutipan sebanyak RM70 juta selepas berada di pawagam selama 25 hari dan tayangan awal. – KOSMO! ONLINE