Sanggup ambil risiko seludup migran hanya kerana upah RM250

6 days ago 14

ALOR SETAR – Sebilangan warga tempatan sanggup mengambil risiko dengan mengangkut migran yang diseludup masuk ke negara ini hanya kerana upah RM250.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, setakat ini seramai 66 warga tempatan yang bertindak sebagai tekong ditahan dari 2023 hingga 26 Januari lalu.

“Polis juga menahan 42 ejen warga asing yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan berkenaan.

“Pada 2023, seramai 29 ejen warga tempatan dan 15 warga asing ditahan, manakala pada 2024 (16 warga tempatan, 11 warga asing), 2025 (18 warga tempatan, lima warga asing) dan setakat 26 Januari lalu, tiga warga tempatan serta 11 warga asing,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di sini hari ini.

Menurut beliau, modus operandi digunakan adalah melalui lorong tikus sama ada di sempadan Padang Besar, Perlis; Bukit Kayu Hitam dan Durian Burung, dekat sini, serta sempadan perairan antarabangsa Thailand-Malaysia ke Langkawi menggunakan bot-bot kecil.

Katanya, dalam tempoh sama, seramai 577 migran pelbagai warganegara ditahan dengan warga Myanmar mencatatkan jumlah tertinggi iaitu seramai 481 orang.

“Mereka memilih Malaysia sebagai destinasi pilihan atas beberapa faktor termasuk keadaan sosial dan ekonomi yang stabil serta kedudukan negara yang berhampiran dengan Myanmar,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam operasi terbaharu sepanjang bulan ini, polis berjaya menahan 73 individu disyaki terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia menerusi tiga operasi berasingan di negeri ini dan Pulau Pinang.

“Individu yang ditahan termasuk 14 tekong warga tempatan dan asing yang bertanggungjawab mengangkut migran warga Myanmar ke lokasi masing-masing.

“Seramai 11 ejen warga Myanmar, tiga ejen warga tempatan serta 59 migran warga Myanmar dan Amerika Syarikat berusia antara setahun hingga 61 tahun ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |