Baru empat bulan timang cahaya mata, lelaki maut kemalangan

3 hours ago 5

MELAKA – Seorang lelaki yang baru sahaja bergelar bapa maut dalam nahas selepas menghantar isterinya ke tempat kerja di Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ) dekat, Taman Semabok Perdana, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.35 pagi itu, mangsa, Nur Hafiz Mizal, 21, yang menunggang motosikal jenis Honda RSX meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, hasil siasatan awal mendapati, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah lampu isyarat Bukit Piatu menghala ke Duyong.

Katanya, mangsa dikatakan baru sahaja selesai menghantar isterinya ke tempat kerja di Tengkera dan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Duyong.

“Sebaik tiba di lokasi, sebuah kereta jenis Perodua Alza yang berada di hadapannya telah mengubah haluan secara mengejut menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian hadapan kiri kenderaan berkenaan.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa telah terjatuh ke atas jalan raya dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Tambahnya, lebih menyayat hati, waris turut memaklumkan mangsa dan isterinya baru sahaja menimang cahaya mata sulung mereka yang kini berusia empat bulan.

Mengulas lanjut Christopher berkata, pemandu kereta terlibat merupakan seorang guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) wanita berusia 37 tahun.

“Pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan dan ujian saringan air kencing mendapati keputusannya adalah negatif.

“Keadaan jalan ketika kejadian adalah lurus, kering dan cuaca baik dengan pencahayaan jelas, selain tiada rakaman kamera papan pemuka diperoleh daripada kenderaan terlibat,” katanya.

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka bagi tujuan bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |