KUALA LUMPUR – Pelakon Ezzaty Abdullah mengakui pengalaman terlibat dalam penggambaran iklan televisyen (TVC) Aidilfitri Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memberi perspektif baharu tentang kepentingan perlindungan sosial, khususnya dalam kalangan masyarakat bekerja.
Ezzaty, 36, membawakan watak seorang ibu tunggal bernama Mawar, seorang penghantar makanan yang menyara dua anak, termasuk seorang anak istimewa, dalam iklan raya bertajuk Janji Ibu.
“Dalam iklan ini, saya pegang watak Mawar, seorang ibu tunggal yang menyara dua anak. Salah seorang anaknya ada kelainan upaya dan perkara itu hanya didedahkan di hujung cerita.
“Mawar sangat suka membantu orang lain. Dia terlalu fokus menolong sampai lupa diri sendiri juga perlukan bantuan. Dia tak sanggup tengok orang susah, malah binatang lapar pun dia sanggup berhenti kerja sekejap untuk bagi makan,” katanya kepada Kosmo! Online.
Ujar bintang drama Kulit Wayang itu, karakter tersebut dekat dengan realiti masyarakat hari ini, khususnya golongan bekerja yang sering menganggap diri kuat dan tidak memerlukan sokongan.
“Dalam masyarakat kita, ramai rasa mereka kuat dan boleh hadap semua benda sendiri. Tapi bila berlaku kecelakaan, caruman itulah sebenarnya jadi penyelamat.
“Kita tak minta perkara buruk berlaku, tapi bila sudah jadi, perlindungan sosial inilah yang bantu keluarga untuk teruskan hidup,” ujarnya ketika ditemui di set penggambaran TVC Perkeso Raya, di sini, semalam.
Menyentuh isu caruman Perkeso, isteri kepada pelakon Azwan Kombos itu menegaskan perlindungan tersebut sangat penting, bukan sahaja untuk pekerja formal, malah golongan pekerja gig seperti penghantar makanan dan penggiat seni.
“Saya pernah nampak sendiri kemalangan melibatkan rider. Kita selalu baca berita sebegitu di media sosial. Mereka pertaruhkan nyawa setiap hari demi cari rezeki.
“Bila saya tengok kemalangan itu, saya terfikir, kalau sesuatu berlaku pada dia, bagaimana nasib keluarga? Mungkin dia seorang ayah, suami atau anak lelaki yang menanggung ibu bapa,” luahnya.
Tambah Ezzaty, caruman Perkeso memberi jaminan kepada keluarga yang ditinggalkan untuk meneruskan kehidupan walaupun pencari nafkah sudah tiada.
Malah sebagai majikan, dia turut menitikberatkan tanggungjawab terhadap pekerjanya dengan memastikan caruman Perkeso dibayar untuk tiga kakitangan perniagaan tepung kek miliknya.
“Kalau ada caruman, sekurang-kurangnya keluarga masih ada ‘payung’. Duit itu mungkin bukan segalanya, tapi cukup untuk mereka bina semula hidup.
“Sebagai majikan, saya rasa itu tanggungjawab. Kita kena sediakan perlindungan sebelum hujan,” jelasnya.
Iklan raya Aidilfitri Perkeso Janji Ibu menampilkan Ezzaty bersama Syafie Naswip dan pelakon kanak-kanak Umar Shakur, mengetengahkan kisah penuh emosi tentang ibu tunggal, pekerja gig serta wanita sebagai tunjang keluarga.
Melalui pendekatan penceritaan dekat dengan realiti masyarakat, Perkeso menekankan kepentingan keselamatan sosial sebagai keperluan asas demi menjamin kelangsungan hidup pekerja dan keluarga.
Iklan raya Janji Ibu bakal menemui penonton pada Mac ini. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
3


![[VIDEO] ‘Kenapa aku nampak kepala terbang’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-03-at-6.02.02-PM.jpeg)
![[VIDEO] Bergurau ketika solat, penghadang jatuh hempap budak hingga longlai](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-03-at-5.58.44-PM.jpeg)



![[VIDEO] ‘Faizah…hiburkanlah saya’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-03-at-3.46.22-PM.jpeg)









































