Rusuhan KLCC: 18 ‘ulat foto’ ditahan

4 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Polis menahan 18 lelaki disyaki terlibat dalam kejadian rusuhan dan serangan terhadap dua lelaki hingga mengalami kecederaan di Persiaran KLCC di sini, Ahad lalu.

Kejadian kira-kira pukul 9 malam itu dipercayai bermula apabila sekumpulan lelaki yang merupakan jurugambar jalanan atau ‘ulat foto’ memukul seorang pelancong lelaki warga India di kawasan hadapan KLCC.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, seorang lelaki tempatan yang cuba meleraikan pergaduhan turut menjadi mangsa apabila diserang dari belakang menggunakan senjata dipercayai pisau kerambit.

“Pengadu kemudiannya dipukul beberapa individu sehingga mencetuskan kekecohan apabila kira-kira 30 rakan suspek turut membantu menyerang mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, polis menerima laporan kejadian pada pukul 1.12 pagi, Isnin lalu sebelum melancarkan operasi dan berjaya menahan kesemua suspek berusia 17 hingga 45 tahun di sekitar lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek mengaku berada di tempat kejadian dan bekerja sebagai jurugambar bebas di sekitar kawasan KLCC.

“Hasil pengecaman turut mendapati dua daripada suspek dikenal pasti oleh saksi sebagai individu yang terlibat dalam serangan,” ujarnya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.

Rabu lalu, Kosmo! melaporkan, dua lelaki dilaporkan cedera di kepala selepas didakwa dipukul sekumpulan individu dipercayai jurugambar haram dalam kejadian di sekitar KLCC, malam Ahad lalu.

Perkara itu didedahkan pempengaruh yang juga bekas guru, Mohd Fadli Salleh menerusi hantaran di Facebook miliknya.

Menurutnya, kejadian berlaku apabila kumpulan berkenaan yang dianggarkan berpuluh orang terlibat dalam pergaduhan dengan pelancong asing sehingga berlaku insiden pukul.

Katanya, seorang peniaga air balang yang kebetulan berada di lokasi cuba meleraikan pergaduhan, namun turut menjadi mangsa apabila diserang beramai-ramai oleh kumpulan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |