Roy King hanya fokus beregu lelaki

11 hours ago 6

TEKA-TEKI hala tuju karier pemain muda badminton negara, Yap Roy King akhirnya terjawab apabila dia memutuskan untuk memberikan sepenuh tumpuan kepada acara beregu lelaki.

Sebelum ini, Roy King aktif dalam dua kategori iaitu beregu campuran bersama Valeree Siow dan beregu lelaki dengan Wan Arif Wan Junaidi, namun keputusan itu dibuat selepas Valeree mengalami kecederaan lutut serius memerlukan pembedahan serta tempoh pemulihan panjang.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky memberi lampu hijau kepada keputusan Roy King, malah menyifatkannya sebagai langkah paling logik demi pembangunan jangka panjang.

Menurut Rexy, adalah tidak adil untuk Roy King terus digandingkan dengan Valeree yang belum mencapai tahap kecergasan maksimum kerana boleh menjejaskan prestasi kedua-dua pemain serta menambah tekanan fizikal dan mental.

“Kalau dipaksakan juga, Roy King akan membuang tenaga secara percuma kerana perlu sentiasa ‘cover’ pasangannya yang belum pulih. Kita tidak mahu menjadi seperti peribahasa habis manis sepah dibuang,” kata Rexy.

Rexy turut mendedahkan Roy King sendiri telah menyuarakan hasrat untuk memberi tumpuan kepada satu acara sahaja sekiranya gandingan bersama Valeree tidak dapat diteruskan.

Meskipun mengakui Roy King memiliki potensi besar dalam beregu campuran, Rexy berkata usaha mencari pengganti Valeree bukan tugas mudah kerana jurang tahap permainan dengan pemain wanita lain masih terlalu besar.

“Bayangkan Roy King perlu beraksi dalam Super 750 dan kemudian terbang ke Eropah bagi menyertai Cabaran Antarabangsa (IC) dengan pasangan berbeza. Jadual itu tidak praktikal,” katanya.

Susulan itu, fokus utama adalah memastikan Roy King memaksimumkan potensinya bersama Wan Arif dalam beregu lelaki bagi menghadapi kejohanan utama akan datang.

Dalam masa sama, Valeree dinasihatkan agar memberi keutamaan kepada proses pemulihan dan pembedahan yang disyorkan demi kesihatan serta masa depan kariernya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |