KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa sejak Kerajaan Madani mengambil alih tampuk pentadbiran pada November 2022, pelbagai langkah berani dan tuntas telah dilaksanakan bagi mengemudi dasar negara ke arah kemampanan dan kesejahteraan rakyat.
Ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Parlimen hari ini, beliau berkata hala tuju baharu negara dizahirkan menerusi penggubalan kerangka Ekonomi Madani yang menekankan nilai integriti, reformasi struktur ekonomi serta keadilan sosial.
“Di bawah Ekonomi Madani, Kerajaan telah memulakan reformasi struktur ekonomi, termasuk melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Dasar TVET Negara 2030,” katanya.
Tambah beliau, sektor swasta turut bergerak seiring menerusi program GEARuP yang dipacu syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan pelaburan langsung domestik (DDI).
Jelasnya, Pelan KL20 pula diperkenalkan dengan aspirasi menjadikan Kuala Lumpur antara 20 ekosistem terbaik dunia bagi syarikat pemula.
“Bagi merancakkan lagi aktiviti ekonomi domestik, pelaburan melalui kerjasama strategik dengan pihak industri terus diperkukuh. Inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) dan Kulim Hi-Tech Park (KHTP) pula telah berjaya menarik pelaburan asing dan domestik dalam sektor berteknologi tinggi,” ujarnya.
“Tidak terhenti di situ, tumpuan pembangunan turut diperluas di Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) dan Lembah Teknologi Tinggi Automotif Tanjung Malim (AHTV) di negeri Perak, serta taman-taman perindustrian strategik di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Menurut Anwar, kerajaan juga melaksanakan reformasi perundangan secara menyeluruh dengan lebih 80 undang-undang digubal dan dipinda termasuk Akta ILTIZAM, Akta Perkongsian Data, Akta Polis dan Akta Kanak-kanak.
Dalam aspek tadbir urus dan integriti, agensi seperti Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia terus diperkasakan bagi memerangi rasuah, ketirisan dan salah guna kuasa.
Bagi pengurusan fiskal negara pula Anwar berkata, diperkukuh menerusi penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal, sebagai sebahagian daripada langkah mengurangkan defisit negara.
Katanya, kerajaan juga terus komited menangani kos sara hidup melalui pelaksanaan subsidi bersasar bagi diesel dan elektrik, selain mempertingkatkan kadar Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara).
“Penerima Sara misalnya telah diperluas daripada 700,000 penerima awal yang terdiri daripada golongan miskin tegar, kepada 5.4 juta penerima yang turut meliputi golongan B40.
“Minggu lepas, saya juga telah mengumumkan pemberian Sara secara one-off kepada semua rakyat berusia 18 tahun ke atas,” jelasnya.
Dalam aspek pendapatan rakyat, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, kerajaan berjaya menaikkan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500 dan kini RM1,700.
“Manakala penanda aras gaji kehidupan wajar bagi pekerja GLC dan GLIC telah ditetapkan pada RM3,100 sebulan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa 95.6 peratus graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan, dengan kebanyakan mereka menerima gaji melebihi paras minimum.
Dalam masa sama ujarnya, kerajaan turut memberi tumpuan kepada pembangunan kemudahan asas rakyat termasuk membaik pulih sekolah dan klinik daif, penyelenggaraan jalan raya serta pelaksanaan projek tebatan banjir. – KOSMO! ONLINE