‘Rider’ Indonesia protes desak bayaran lebih tinggi

7 hours ago 2

JAKARTA – Beratus-ratus penunggang teksi motosikal dan penghantar makanan menyertai demonstrasi di beberapa bandar utama di Indonesia bagi menuntut bayaran lebih tinggi, lapor laman berita Channel News Asia semalam. 

Protes itu juga dilakukan bagi menentang rancangan penggabungan antara syarikat teknologi terbesar Indonesia dan Singapura, iaitu GoTo serta Grab. 

Protes tertumpu di sekitar pejabat presiden, bangunan Parlimen dan pejabat kementerian pengangkutan di Jakarta, di mana ratusan pemandu berkumpul sambil memakai jaket serta topi keledar berwarna hijau.

Mereka menyampaikan ucapan melalui pembesar suara, mengibarkan bendera dan mengangkat poster untuk mengkritik dasar syarikat yang disifatkan sebagai tidak adil dan mengeksploitasi pekerja. 

Kumpulan itu turut berkonvoi di beberapa jalan utama di Jakarta. 

Peserta protes turut mendakwa bahawa mereka memperoleh antara 100,000 rupiah (RM26) hingga 150,000 rupiah (RM40) bagi waktu bekerja 10 hingga 12 jam sehari.

Ketua Persatuan Penunggang Motosikal Online, Raden Igun Wicaksono berkata, ahlinya meminta kerajaan memastikan mereka menerima 90 peratus tambang daripada setiap perjalanan.

“Di bawah peraturan semasa, syarikat sepatutnya mengambil tidak lebih daripada 20 peratus tambang tetapi kadangkala mereka mengambil lebih.

“Tiada sekatan dalam peraturan itu dan kerajaan sentiasa berlembut terhadap syarikat terbabit,” tambah Raden.

GoTo dalam satu kenyataan berkata, ia terbuka kepada cadangan pekerja tetapi mengurangkan bahagian tambang syarikat bukan penyelesaian terbaik. 

Mengenai rancangan penggabungan, GoTo telah menerima cadangan daripada pelbagai pihak tetapi tidak membuat sebarang keputusan. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |