Klinik doktor Pakistan rawat pesakit secara haram diserbu

7 hours ago 3

PUTRAJAYA- Taktik sebuah klinik yang menawarkan perkhidmatan perubatan menggunakan doktor Pakistan tidak bertauliah terutamanya kepada warga asing dengan harga murah tumpas apabila diserbu Jabatan Imigresen menerusi operasi khas pada 19 Mei lalu.

Menerusi serbuan di dua lokasi di Selangor dan satu di Kuala Lumpur itu, imigresen berjaya menahan seorang lelaki Pakistan dikenali sebagai Dr. Maleeq yang bertindak sebagai doktor.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, klinik itu dipercayai menggunakan doktor tidak bertauliah untuk melakukan pemeriksaan kesihatan pada waktu malam sahaja.

Katanya, ia telah beroperasi selama satu tahun dengan mengenakan RM90 untuk setiap pesakit warga asing dan bayaran dilakukan secara dalam talian.

“Berdasarkan maklumat awam dan risikan yang dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi telah diatur gerak ke lokasi dan berjaya menahan seorang lelaki Pakistan dipercayai sebagai doktor tidak bertauliah.

“Turut ditahan tiga perempuan Myanmar yang dipercayai sebagai pembantu klinik, seorang perempuan Pakistan dan satu perempuan warga India.

“Jumlah keseluruhan ditahan seramai enam orang berumur antara 23 hingga 57 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Katanya, semakan awal mendapati Dr. Maleeq telah tinggal lebih masa, manakala satu perempuan warga Myanmar telah menyalahgunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

Jelasnya, seorang lagi perempuan Myanmar memiliki kad UNHCR, manakala warga asing yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.

“Kesemua warga asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan ditahan Depot Imigresen KLIA untuk tindakan lanjut.

“Seorang lelaki tempatan dan seorang perempuan Filipina telah diberi notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya, pihaknya akan meneruskan tindakan tegas ke atas pihak yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 bagi memastikan kedaulatan negara terpelihara. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |