Deca Water sedia bantu syarikat ultiliti tangani isu NRW

7 hours ago 2

PETALING JAYA – Syarikat penyedia perkhidmatan air tempatan, Deca Solution Sdn. Bhd. (Deca Water) komited untuk membanteras kehilangan air tidak berhasil (NRW) di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Deca Water, Prof (Adj) Ts Razim Faris berkata, NRW bukan sekadar isu teknikal kerana ia melibatkan kehilangan nilai ekonomi, kelestarian sumber negara, serta kepercayaan rakyat terhadap sistem utiliti air.

Beliau berkata, dengan menggabungkan kepakaran teknikal dan pengalaman industri, Deca Water menawarkan penyelesaian komprehensif secara holistik.

“Ia meliputi perkhidmatan perundingan, serta kerja-kerja menangani kehilangan fizikal dan kehilangan komersial, melalui penggunaan pelbagai teknologi pintar dalam sistem agihan air.

“Komitmen kami tidak hanya tertumpu kepada projek jangka pendek, sebaliknya berteraskan kepada penyelesaian mampan yang mampu menjimatkan belanjawan negara, sekali gus memastikan kelangsungan sumber air untuk generasi masa depan.

“Kami percaya masa depan pengurusan air Malaysia terletak pada keberanian untuk berinovasi dan kecekapan dalam pelaksanaan. Deca Water komited untuk menjadi sebahagian daripada usaha kolektif ini,” katanya dalam kenyataan.

Terbaharu, Deca Water membuktikan keupayaannya dalam gerak kerja membantu Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) memastikan kelangsungan bekalan air sepanjang penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2025 pada 20 hingga 24 Mei ini.

Menurut Razim, sejak beberapa bulan lalu, pihaknya giat menjalankan pelbagai kerja termasuk penggantian paip lama, pengurusan tekanan air, serta pengesanan dan pembaikan kebocoran, bagi memperkukuh sistem bekalan air di Langkawi.

“Usaha ini sekali gus membuktikan keupayaan syarikat menggerakkan tenaga kerja secara sistematik serta mengaplikasikan kepakaran teknikal untuk memenuhi keperluan acara bertaraf antarabangsa, seterusnya mengukuhkan keyakinan terhadap keupayaan syarikat tempatan,” ujarnya.

Untuk rekod, ketika ini Malaysia berdepan cabaran serius dalam pengurusan air dengan purata kadar NRW mencecah 35 peratus daripada jumlah air terawat membawa kepada kerugian ekonomi dianggarkan lebih RM2 bilion setahun.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |