SUV elektrik MGS5 pada harga bermula RM115,900

6 hours ago 1

KUALA LUMPUR – SAIC Motor Malaysia sebagai pengedar jenama MG melancarkan kenderaan elektrik (EV) serba baharu MGS5 bagi pasaran Malaysia dengan harga bermula RM115,900.

Kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik dalam segmen B itu hadir dalam dua varian iaitu Com dan Lux dengan pilihan pek bateri 49 kilowatt jam (kWh) dengan jarak gerak 340 kilometer (km), serta bateri 62kWh yang menawarkan jarak gerak sehingga 430 km mengikut WLTP.

MGS5 Com dijual pada harga bermula RM115,900, MGS5 Com Long Range RM125,900 dan MGS5 Lux Long Range RM135,900.

Sempena pelancaran MGS5 serta sambutan ulang tahun pertama MG di Malaysia, MG Motor Malaysia memperluaskan tawaran akses awal eksklusif kepada 500 pembeli pertama.

Pengarah Urusan SAIC Motor Malaysia, Emory Qifeng berkata, 500 pelanggan terawal layak menikmati penjimatan sebanyak RM6,000, menjadikan harga permulaan MGS5 serendah RM109,900 dengan tambahan pengecas AC Wallbox 7kW secara percuma untuk pengecasan di rumah.

“Dengan harga rasmi yang diumumkan, MGS5 mewakili antara model terbaik dalam segmen SUV elektrik.

“Ia bukan sekadar prestasi, tetapi dilengkapi teknologi EV termaju dengan reka bentuk premium pada harga kompetitif,” katanya pada Majlis Pengumuman Harga MGS5 di sini semalam.

Kedua-dua varian menawarkan pacuan roda belakang (RWD) dengan sokongan pengecasan arus ulang alik (AC) 7kW.

Semua varian menghasilkan kuasa 170PS dan tork 250Nm, dengan varian Com yang memiliki kapasiti bateri 49kWh menyokong pengecasan pantas (DC) 120kW, manakala varian Lux dengan bateri 62kWh menyokong pengecasan DC 150kW.

Ia boleh mengecas bateri dari 10 hingga 80 peratus dalam masa hanya 26 minit.

Kedua-dua varian MG S5 EV turut dilengkapi pengecasan standard 6.6kW dan Vehicle-to-Load (V2L) dengan ketersambungan tanpa wayar Apple CarPlay dan Android Auto.

Bagi mereka yang inginkan keselesaan tambahan, varian Lux menawarkan ciri premium seperti rim aloi 18 inci, bumbung panoramik, pintu belakang berkuasa, tempat duduk kombinasi kulit, tempat duduk pemandu boleh laras kuasa, sistem audio premium dengan enam pembesar suara, dan kamera 360 darjah.

Ruangan kabin SUV elektrik itu juga dilengkapi dengan skrin infotainmen bersaiz 12.8 inci dengan kawalan suara, serta pemuka info meter 10.25 inci.

Dari segi keselamatan, MG S5 EV dilengkapi tujuh beg udara serta Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS).

MGS5 ditawarkan dalam lima pilihan warna menarik iaitu Arctic White, Monument Silver, Camden Grey, Dynamic Red, dan Elegant Latte.

Pembeli boleh menikmati pakej waranti komprehensif tujuh tahun atau waranti perbatuan tanpa had bagi kenderaan, lapan tahun atau 180,000 km untuk pek bateri voltan tinggi, serta lapan tahun atau 160,000 km bagi sistem pacuan motor dan unit kawalan motor. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |