PETALING JAYA – Syarikat pemaju perumahan, Danau Lumayan Sdn. Bhd akan membangunkan 3,438 unit kediaman mampu milik di Jalan Tasik Permaisuri, Bandar Tun Razak, Cheras dekat sini.
Pengarah Urusannya, Shahril Reza Shaheen berkata, projek perumahan mampu milik dengan nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM1.01 bilion itu dikenali sebagai Residensi Aman Lumayan.
Jelasnya, projek perumahan tersebut meliputi tiga fasa, iaitu Fasa 1, Fasa 2A dan Fasa 2B yang akan siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun.

“Projek ini dimulakan dengan pembangunan di Fasa 2B dan ketika ini kerja-kerja awalan tapak sudah pun siap. Pada fasa ini, kita bangunankan residensi setinggi 55 tingkat dan setiap tingkat mempunyai 26 unit yang berkeluasan 900 kaki persegi termasuk balkoni.
“Menariknya bagi projek terbaharu ini, kita memperkenalkan konsep bangunan berbentuk ‘Y’ yang mana setiap pemilk akan mempunyai ‘view’ masing-masing dan tidak lagi mengadap antara satu sama lain,”katanya pada sidang akhbar di Cheras semalam.
Shahril Reza yang juga anak kepada ‘Iron Lady’ Allahyarhamah Datuk Maznah Hamid berkata, bagi Fasa 2A, ia akan dibangunkan dengan 50 tingkat, manakala bagi Fasa 1 setinggi 43 tingkat dan harga bagi semua unit adalah RM300,000.
Lebih istimewa katanya, projek tersebut berdekatan stesen transit aliran ringan 3 (LRT 3) yang akan dibina iaitu kira-kira 200 meter dari tapak projek selain transit aliran massa (MRT) dan LRT Salak Selatan yang telah sedia ada.
“Jadi pembeli unit kediaman ini tidak perlu risau tentang masalah parkir kerana mereka boleh menggunakan kemudahan awam yang ada berhampiran kawasan sekitar ini.
“Selain itu, banyak kemudahan lain berhampiran kawasan ini termasuk Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Stadium Cheras, balai polis serta tempat riadah seperti Taman Tasik Permaisuri,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Residensi Aman Lumayan itu akan dilancarkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 6 Ogos nanti.
Antara kemudahan lain yang terdapat di residensi itu termasuklah kolam renang, taman permainan kanak-kanak, dobi, surau serta dilengkapi kawalan keselamatan 24 jam.
“Untuk projek ini juga kita turut menyediakan kira-kira 18 buah gerai penjaja Madani khusus kepada usahawan untuk berniaga di kawasan ini. Ia juga adalah salah satu insiatif terbaharu yang diperkenalkan pihak kerajaan untuk perumahan mampu milik,”katanya.-KOSMO! ONLINE