
- Oleh NURUL IZZATI ZAINI
- 29 Julai 2025, 1:27 pm
HULU SELANGOR – Seorang remaja lelaki ditemukan lemas semasa bermandi-manda di Air Terjun Sungai Pertak Kampung Pertak, Kuala Kubu Baru, di sini pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.27 pagi.
Katanya, seramai 12 anggota dan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Baru dan BBP Bukit Sentosa dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi terdapat seorang mangsa lelaki berusia 20 tahun lemas semasa melakukan aktiviti mandi-manda.
“Mangsa berjaya dijumpai pada pukul 11.19 pagi dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh pihak bomba pada jarak tiga meter dari tebing berkedalaman lima meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa bagaimanapun diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE