KUALA LUMPUR – Seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun terpaksa menghantar gambar bogel kepada along selepas terperangkap dalam satu skim penipuan pekerjaan sambilan melalui aplikasi WhatsApp dan Telegram, sekitar Julai lalu.
Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, mangsa yang dikenali sebagai Yap, pada awalnya menyertai sebuah kumpulan Telegram yang menawarkan ganjaran wang tunai bagi menyelesaikan tugasan mudah.
Katanya, mangsa menerima RM60 selepas dua tugasan awal, namun mula terjerat apabila gagal menyiapkan tugasan ketiga walaupun telah membayar RM500.
“Mangsa kemudian terpaksa meminjam RM1,000 daripada along untuk melunaskan tuntutan tambahan RM1,000 oleh sindiket.
“Namun sebagai syarat pinjaman, dia dipaksa menghantar gambar bogel kepada peminjam wang tidak berlesen itu,” katanya pada sidang media di Wisma MCA di sini, hari ini.
Chong berkata, masalah bertambah rumit apabila keluarga mangsa membayar RM1,500 pada 7 Julai lalu, namun keesokan harinya, along mendakwa bayaran itu dibuat terlalu awal sehingga ‘mengganggu sistem syarikat’.
Katanya, lelaki itu kemudian menuntut RM15,000 lagi dan mengugut untuk menyebarkan gambar bogel mangsa sekiranya bayaran tidak dibuat.
“Dia bukan sahaja memuat naik gambar mangsa di Facebook, malah turut mendedahkan nama rakan-rakan serta saudara-mara mangsa.
“Selain gambar yang dimuat naik, mereka juga siarkan semua maklumat semua rakan dan saudara terdekat pun mereka libatkan.
“Mereka sangat kejam. Selepas dapat maklumat cikgu-cikgu dan rakan-rakan mangsa di Facebook, mereka terus buat hantaran untuk memalukan mangsa. Tujuannya supaya semua orang tahu dan mangsa rasa tertekan,” tambahnya.
Mangsa kemudian membuat laporan polis di Perak kerana bimbang terhadap keselamatan diri dan keluarga serta takut gambar peribadi miliknya disebarkan secara meluas.
“Saya buat laporan polis sebab takut keselamatan diri saya dan keluarga. Saya juga risau kalau gambar saya diviralkan,” kata Yap. – KOSMO! ONLINE