‘Qisya nak doakan arwah walid, umi dan adik depan Kaabah’

6 hours ago 5

ALOR SETAR – “Qisya mahu doa depan Kaabah untuk arwah walid, umi dan adik-adik supaya mereka sentiasa dilindungi Allah SWT di sana.”

Demikian luah, Putri Qisya Nur Izzat Mohamad Azim Izat, 12, setelah mendapat tajaan menunaikan umrah daripada penjelajah Grand Slam Negara, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin yang lebih dikenali sebagai Qobin.

Remaja tersebut mengakui masih berada dalam keadaan terkejut dan terharu apabila perkara itu dimaklumkan oleh Qobin dalam satu majlis di sebuah stesen radio dekat Kuala Lumpur hari ini.

Putri Qisya memberitahu, arwah ibu dan bapanya ketika hayat pernah memberitahu bahawa suatu hari nanti mereka akan ke Mekah untuk menunaikan umrah atau haji bila mempunyai rezeki kelak.

“Arwah pernah cakap memang jadi harapan mereka untuk ke Mekah namun tidak kesampaian. Jadi bila dapat tajaan ini hati saya gembira sangat. Saya cuma terfikirkan untuk mendoakan mereka semua dan menunaikan hajat arwah yang tidak kesampaian.

“Saya nak ucap terima kasih kepada Datuk Qobin kerana memberi peluang ini. Saya akan menunaikan umrah dengan mak teh (Nur Adliah Syuhada Ishak, 26) bila cuti sekolah nanti,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah pelajar Sekolah Kebangsaan Seberang Perak Baru di sini itu, individu berkenaan turut menyumbang wang tunai RM500 setiap bulan untuk perbelanjaan sekolahnya sehingga berusia 17 tahun.

Dalam pada itu menurut Nur Adliah Syuhada, guru al-Quran tersebut mengakui agak terkejut dengan tajaan tersebut memandangkan dia sudah lama menaruh hasrat untuk ke Mekah.

“Datuk akan taja Qisya dan saya ke Mekah untuk umrah nanti. Kami tidak diberitahu langsung tentang tajaan ini kerana kami ke majlis itu hanya untuk terima bantuan persekolahan Qisya sahaja. Apabila dimaklumkan, saya jadi terharu sangat.

“Sudah lama bercita-cita untuk buat umrah dan tengah kumpul duit. Masih belum cukup dan Datuk Qobin menunaikan harapan Qisya dan saya. Kami sekeluarga amat terharu,” katanya.

Menyentuh tentang perkembangan emosi Putri Qisya, katanya, anak saudaranya itu semakin stabil dan sudah banyak tersenyum sejak kebelakangan ini.

“Cuma kami tidak akan membiarkan dia duduk seorang sahaja. Bila dia sendirian nampak Qisya akan bersedih juga mungkin teringatkan keluarganya itu,” jelasnya.

Isnin minggu lepas, negara dikejutkan dengan berita enam beranak maut dalam kemalangan tragis di Sungai Korok berdekatan Kampung Kemboja, Jitra apabila kereta dinaiki mangsa ditemukan terhumban di sungai itu.

Mangsa yang terkorban ialah Mohamad Azim Izat Ishak, 32, isterinya Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat anak mereka iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9; Hawa Adriana Nur Izzat, 8; Anayla Humaira Nur Izzat, 7; dan bayi lelaki berusia enam bulan, Tuah Haidar. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |