Putri Qisya mahu tinggal dengan ibu saudara

7 hours ago 4

JITRA – Putri Qisya Nur Izzat Mohamad Azim Izat Ishak, 12, yang menjadi yatim piatu selepas kehilangan ibu bapa dalam nahas di Sungai Korok pada Isnin lalu membuat keputusan untuk tinggal dengan ibu saudaranya di Taman Seri Aman, di sini.

Menurut Nur Adliah Syuhada Ishak, 26, keputusan itu dibuat oleh anak saudaranya, Putri Qisya sendiri selepas perbincangan dilakukan sesama keluarga.

“Insya-Allah Qisya akan tinggal di sini sebab lebih mudah untuk uruskan pendidikan dia dan kami sudah berbincang (Qisya tinggal di mana) sesama keluarga.

“Kita tanya Qisya sendiri dan serah kepada dia untuk buat keputusan kerana mahu ikut keselesaannya. Qisya buat keputusan untuk tinggal dengan saya, jadi saya terima dengan hati terbuka,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Katanya, Putri Qisya sememangnya sangat rapat dan memanggilnya mama.

“Saya memang nak jaga Qisya sebab anak-anak arwah abang ini selalu dengan saya. Lagipun sebelum ini arwah abang pernah berpesan kepada saya dan suami supaya menjaga anak-anaknya jika berlaku apa-apa kepada dirinya.

“Selain itu, tok umi (nenek Qisya sebelah ibu) sekarang ini sudah mula berniaga semula, saya akan bawa Qisya ke sana untuk bertemu keluarga sebelah arwah uminya,” ujarnya.

Nur Adliah berkata, dia akan cuba sedaya upaya untuk menguruskan anak saudaranya itu terutama memastikan segala keperluan persekolahan diuruskan dengan baik.

“Setakat ini Qisya akan terus bersekolah di Sekolah Kebangsaan Seberang Perak di Alor Setar, sekarang ini Qisya cuti dahulu sebelum masuk semula sekolah.

“Selepas ini, kalau ikut niat hati Qisya, dia berminat nak masuk MRSM (Maktab Rendah Sains Mara) sebab nak penuhi impian arwah umi dan walid dia. Dulu arwah kakak ipar sering minta saya ingatkan dia jika permohonan MRSM dibuka, takut terlepas,” jelasnya.

Sementara itu, katanya, keadaan emosi Putri Qisya semakin baik, namun mereka masih tidak membiarkan dia bersendirian.

“Buat masa ini, saya akan teman Qisya tidur dan kadang kala dia ada luah rindu. Ramai ahli keluarga yang datang beri semangat kepada Qisya,” katanya.

Sementara itu, Putri Qisya ketika ditemui dilihat sangat rapat dengan Nur Adliah Syuhada dengan sesekali bergurau dan memeluk wanita tersebut.

Dia sempat mengatakan wajahnya ‘fotostat’ wajah arwah ibu dan ia diakui Nur Adliah Syuhada sambil menyatakan Putri Qisya bagaikan ‘kembar’ kepada arwah ibunya.

Menurut Putri Qisya lagi, dia mahu fokus dalam pelajaran untuk masuk MRSM dan menjadi juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi memenuhi impian arwah ibu bapanya.

Putri Qisya juga memaklumkan dia belajar mengaji al-Quran daripada arwah bapanya dan sudah dua kali khatam al-Quran.

Dalam kejadian Isnin lalu, pasangan suami isteri, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, ditemukan lemas di Sungai Korok bersama empat anak iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar, enam bulan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |