CANBERRA – Canberra hari ini mengetepikan seruan supaya Presiden Israel, Isaac Herzog ditangkap apabila dia melawat Australia bagi memberi penghormatan kepada komuniti Yahudi yang menjadi mangsa tembakan rambang di Pantai Bondi.
Herzog dijemput untuk lawatan empat hari bermula Isnin ini bagi bertemu komuniti Yahudi selepas serangan pada 14 Disember 2025 di sebuah festival Hanukkah di Sydney yang membunuh 15 orang.
Siasatan anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) mendapati pada 2025, Herzog telah menghasut jenayah pembunuhan beramai-ramai dengan berkata bahawa seluruh rakyat Palestin bertanggungjawab berhubung serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
Israel menolak laporan siasatan PBB itu dan menyifatkannya sebagai ‘diputarbelit serta palsu”.
“Dia harus ditangkap jika datang,” kata peguam hak asasi manusia Chris Sidoti selaku ahli Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas PBB yang menyiasat pencabulan hak asasi di Israel dan wilayah Palestin.
Sidoti secara terbuka menyeru agar jemputan Herzog ditarik balik, atau dia ditangkap sebaik tiba Australia.
“Perdana Menteri Anthony Albanese melakukan ‘kesilapan bodoh’ dengan menjemput ketua negara Israel itu,” katanya kepada AFP.
Bagaimanapun, apabila ditanya mengenai seruan untuk penangkapan Herzog, Menteri Luar Australia, Penny Wong berkata, dia dijemput oleh kerajaan selaras dengan kehendak komuniti Yahudi.
Dalam pada itu, polis persekutuan Australia menyatakan, seorang lelaki Sydney berumur 19 tahun didakwa kerana membuat ugutan bunuh secara dalam talian terhadap ketua negara asing.
Polis enggan mengesahkan laporan media tempatan bahawa Herzog adalah sasarannya. – AFP

3 hours ago
1













![[VIDEO] 40 orang perunding ‘tumbangkan tualang kebal’ Gua Musang](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/tualang.jpeg)



































