KUALA LUMPUR – Mengakui hubungan jarak jauh (LDR) dengan suami, Cyril Kongo ada liku tersendiri, pelakon Sharifah Sakinah tetap percaya perkara tersebut yang menguatkan rasa cinta antara mereka.
Sakinah atau nama lengkapnya, Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar, 37, bagaimanapun berkata, hari demi hari, dia kian membiasakan diri dengan LDR biarpun perit.
“10 kali saya beritahu yang saya suka LDR. Memang ada peritnya, tapi kalau sibuk bekerja, keperitan itu kurang sedikit.
“Saya dan dia (suami), masing-masing adalah pengkarya. Dia pelukis dan saya seorang pelakon.
“Kami memang tak duduk ikut sistem tanya ‘sayang, apa khabar’, ‘dah makan ke belum’ dan sebagainya. Dia (Cyril), kalau dah kerja pandang muka saya pun tak nak. Dia memang fokus,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis pelancaran program Ramadan Astro baru-baru ini.
Tambah Sakinah yang kini muncul dengan drama terbaharu, Sujud Terakhir Encik Norman, energi yang sama datang daripadanya buat suami terutama selepas seharian penat bekerja.
“Saya pun sama. Kalau balik penat bekerja, contoh dari shooting filem puntianak tiba-tiba kena layan laki makan sate? Lambat lagi. Saya balik nak tidur dan dia pun faham,” katanya.
Getus Sakinah, LDR sebenarnya banyak kebaikan buat pasangan suami isteri. Menurutnya, waktu ketika berjumpa itu umpama emas yang tidak seharusnya dibazirkan.
“Bila berjumpa dan timbul isu, ada satu minit pun kita tak nak gaduh sebab itu saja masa yang kita ada bersama.
“Saya selesa dengan LDR sebab kalau sentiasa ada orang di sebelah, memang saya tak boleh. Ada orang yang begitu, cepat bosan dan salah seorang golongan itu adalah saya,” jelasnya lagi.
Ditanya kemungkinan dia berpindah kekal ke Bali, Indonesia bersama suami, Sakinah berkata, dia sebolehnya akan mengelak kerana ingin terus berkarya di Malaysia.
“Saya kalau kerja memang kena fokus 100 peratus. Kalau saya duduk di Bali, saya akan jadi gila sebab tak buat apa-apa.
“Sampai bila nak jadi bini orang kaya? Jadi suri rumah sepenuh masa, itu memang bukan saya. Dengan ADHD, nak pergi bersenam sambil minum matcha apa semua. Saya tak nak dimanjakan,” katanya.
Jun tahun lalu, selepas tiga bulan mendirikan rumah tangga Sakinah akhirnya berkongsi wajah suaminya, Cyril Kongo.
Bagaimanapun, hubungan mereka kini berpaksi pada LDR apabila suaminya masih memilih menetap di Bali, Indonesia sementelah Sakinah di Kuala Lumpur, Malaysia atas komitmen kerja masing-masong.
Sakinah pernah mendirikan rumah tangga dengan Aliff Adha pada 2015 namun bercerai pada 2020.
Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Anais Adha yang kini berusia 8 tahun.
Selepas itu, dia kembali bertemu jodoh dengan lelaki asal Sweden bernama Michael Hansen pada 2021 dan berakhir dengan perceraian dua tahun kemudian. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
1



![[VIDEO] 40 orang perunding ‘tumbangkan tualang kebal’ Gua Musang](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/tualang.jpeg)













































