PMX! mohon pertimbang ayam, daging, sayur dalam pembelian Sara

20 hours ago 11

PETALING JAYA – Ramai rakyat masih merayu dan berharap kepada Kerajaan Madani dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar mempertimbangkan peluasan senarai barangan keperluan asas seperti ayam, daging, sayur-sayuran dan buah-buahan segar dalam pelaksanaan program Sumbangan Asas Rahmah (Sara).

Mereka berpandangan, langkah itu penting bagi memastikan bantuan yang disalurkan benar-benar memberi manfaat menyeluruh kepada golongan berpendapatan rendah, khususnya dalam menampung kos makanan harian yang semakin meningkat.

Menerusi komen yang ditinggalkan pengguna di ruangan hantaran Anwar di Facebook, rata-ratanya menyuarakan pendapat bahawa keperluan asas rakyat bukan sahaja tertumpu kepada barangan kering, malah melibatkan sumber protein dan makanan segar yang memainkan peranan penting dalam pemakanan seimbang seisi keluarga.

“Terima kasih atas tambahan barangan sejuk beku, tapu jika boleh ramai masih berharap agar ia diperluas kepada barangan basah seperti ayam, sayur-sayuran, daging, ikan yang merupakan antara barangan yang kerap dibeli oleh isi rumah, namun harganya sering berubah-ubah dan memberi tekanan kepada perbelanjaan bulanan penerima bantuan,” kata Syahidi.

“Sejuk beku makanan tak sihat Datuk Seri (Anwar), patutnya Datuk Seri tukar kepada sayur atau lauk didik rakyat Malaysia makan makanan ‘real food’. Cuma cadangan,” kata Oh Ki Na.

“Sara dapat beli sayur segar ,daging ,buah buahan. Itu lebih penting setiao hari,” kata pengguna lain.

“Ramai mengharap barang-baranf basah boleh tebus (Sara). Insya-Allag masa-masa mendatang,” komen Ahmad Izuddin.

“Jika SARA dapat diperluaskan kepada pembelian barangan segar, ia bukan sahaja meringankan beban kewangan, malah membantu meningkatkan kualiti pemakanan rakyat,” ujar Muhaimin.

Terdahulu, Anwar memaklumkan kerajaan bersetuju memperluaskan kategori barangan Sara merangkumi makanan sejuk beku dan pembabitan kedai runcit kecil dalam pelaksanaan itu juga ditingkatkan kepada 10,000 menjelang hujung tahun ini.

“Bermula hari ini, 9 Februari 2026 hingga 31 Disember 2026, semua 22 juta warganegara Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas akan menerima RM100 melalui MyKad.

“Namun, ramai membangkitkan supaya diperluaskan kategori barangan jadi, sukacita diumumkan, kerajaan bersetuju meluaskan kategori barangan Sara merangkumi makanan sejuk beku,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |