KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan 12 Ogos bagi keputusan permohonan semakan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid untuk merujuk lapan persoalan undang-undang berkaitan pendakwaan kes gagal mengisytiharkan harta.
Hakim K. Muniandy menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak berhubung permohonan itu.
Na’imah diwakili Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar dan Abraham Au, manakala Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Law Chin How mewakili responden.
Dalam prosiding hari ini, pendakwaan berhujah siasatan kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sukar untuk dilengkapkan kerana saksi cenderung untuk `bersembunyi’ di belakang hak mereka dan enggan memberi kerjasama.
Sehubungan itu, beliau menyatakan, sekatan jenayah yang dikenakan terhadap saksi yang gagal membantu dan mematuhi siasatan SPRM, berkadar dengan niat ketika undang-undang itu diluluskan.
Sebelum ini, pada prosiding 13 Jun lalu peguam yang mewakili Na’imah berhujah, Mahkamah Sesyen tersalah tanggapan dari segi undang-undang ketika menolak permohonan Na’imah untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Tinggi.
Hujah beliau, persoalan itu menyentuh isu perlembagaan antaranya hak individu untuk berdiam diri dan tidak dipaksa memberi keterangan yang boleh digunakan untuk mensabitkannya dalam suatu prosiding.
Na’imah memfailkan permohonan semakan agar Mahkamah Tinggi menggunakan budi bicaranya untuk memanggil dan memeriksa rekod prosiding, mengenai ketepatan, kesahihan atau kewajaran dapatan dan perintah yang direkodkan oleh Mahkamah Sesyen.
Menurut permohonan itu, jika jawapan kepada semua di atas adalah afirmatif, rekod bagi prosiding kemudiannya akan dihantar ke Mahkamah Tinggi untuk rujukan ke Mahkamah Persekutuan.
Sebelum ini, pada 18 Februari lalu, Mahkamah Sesyen menolak permohonan Na’imah agar persoalan undang-undang mengenai kesahihan pertuduhan gagal mengisytiharkan harta yang dihadapinya, dirujuk ke Mahkamah Tinggi. – KOSMO! ONLINE