Penolong pengurus rugi RM1.3 juta diperdaya ‘phone scam’

15 hours ago 7

BENTONG – Seorang penolong pengurus kerugian RM1.3 juta selepas terperdaya dengan kes penipuan melalui panggilan telefon yang menyamar sebagai pihak polis.

Kejadian bermula pada 11 Disember tahun lalu selepas wanita berusia 55 tahun itu menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali mendakwa pihak syarikat kurier dan memaklumkan kononnya mangsa menerima bungkusan berisi barang terlarang.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, panggilan itu kemudian disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis.

“Suspek memperdaya mangsa dengan mendakwa wang simpanannya perlu disiasat bagi mengenal pasti sumber menyebabkan wanita tersebut berasa takut dan cemas.

“Mangsa seterusnya telah diarahkan untuk mengeluarkan wang simpanan daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta pelaburan Public Bank Mutual sebelum memasukkan wang tersebut ke dalam tiga akaun bank diberikan suspek,”katanya di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa telah membuat sebanyak lima transaksi pemindahan wang ke akaun-akaun berkenaan dalam tempoh 24 Disember 2025 hingga 4 Januari 2026 dengan jumlah keseluruhan kerugian sebanyak RM1,313,210.

Katanya, mangsa hanya menyedari telah ditipu selepas gagal menghubungi suspek apabila nombor telefon mangsa disekat.

Dalam pada itu beliau berkata, pihak polis menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.

“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.

“Orang awam yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,”ujarnya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |