KUALA LUMPUR – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas lima pertuduhan memberi suapan berjumlah RM32,000 kepada seorang penjawat awam bagi membantu urusan permohonan sijil kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu tiga tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Yap Foo Siong, 58, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima tertuduh didakwa bersubahat bersama seorang lelaki dengan memberi wang suapan kepada seorang pembantu pendaftaran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya sebagai upah bagi membantu permohonan sijil kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu iaitu dokumen daftar kelahiran JPN dan surat pengesahan bersalin.
Perkara itu didakwa dilakukan di beberapa blok bangunan di Jalan Tun Abdul Razak dan sebuah restoran yang kesemuanya di daerah Putrajaya di antara 30 Mei dan 21 September 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 17(b) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta serupa.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Asmaa’ Zamri menawarkan jaminan RM10,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin warganegara Malaysia beserta syarat tambahan iaitu lapor diri di pejabat SPRM satu bulan sekali, tidak mengganggu saksi-saksi perbicaraan dan menyerahkan pasport untuk disimpan oleh mahkamah sehingga kes selesai
Peguam bela, P. Vitiya Monisha, yang mewakili Foo Siong memohon agar anak guamnya dijamin antara RM5,000 hingga RM6,000 dengan alasan mempunyai tanggungan keluarga selain hanya bekerja sebagai peniaga.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan seperti dipohon. Kes ditetapkan semula bagi serahan dokumen pada 16 Mac ini. – KOSMO! ONLINE

13 hours ago
8









![[VIDEO] Usia 15 tahun sapu RM500,000, juara pancing keli](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-09-at-16.20.10.jpeg)







































