Pengurusan Zoo Taiping ke Jepun bulan depan pantau Dara, Amoi dan Kelat

9 hours ago 9

IPOH – Pihak pengurusan Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) akan mengadakan lawatan ke Tennoji Zoo di Osaka, Jepun dalam masa terdekat bagi memantau perkembangan tiga ekor gajah dari Malaysia, iaitu Dara, Amoi dan Kelat yang dihantar ke negara itu, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, lawatan dijangka berlangsung pada bulan hadapan itu bertujuan memastikan haiwan berkenaan berada dalam keadaan baik dan persekitarannya mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Katanya, lawatan itu merupakan yang pertama diadakan sejak ketiga-tiga gajah berkenaan tiba di Jepun pada 11 Mac lalu.

“Saya belum menerima laporan khusus selepas penghantaran ketiga-tiga gajah tersebut namun difahamkan semuanya berada dalam keadaan baik,” katanya di Program Kesedaran Keselamatan Awam sempena Program Satelit PMR (Program Madani Rakyat) anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, di sini hari ini.

Menurut beliau, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama pihak zoo kedua-dua negara sebelum ini telah mengadakan beberapa siri perbincangan dan lawatan sebelum penghantaran dibuat.

“Dalam masa terdekat, pihak ZTNS akan mengadakan lawatan ke Tennoji Zoo bagi meninjau keadaan gajah yang dihantar, sekali gus memastikan penjagaannya mematuhi garis panduan ditetapkan serta berada dalam keadaan baik,” katanya.

Sementara itu, mengulas desakan orang ramai yang menggesa gajah tersebut dibawa pulang kerana tidak berpuas hati dengan pengendalian zoo di Jepun, beliau berkata keadaan haiwan berkenaan berbeza apabila dibandingkan dengan kehidupan di ‘sanctuary’ (tempat perlindungan).

“Kalau mahu dibandingkan keadaan di zoo dan sanctuary, ia sudah pasti berbeza,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan kebimbangan orang ramai mengenai penghantaran haiwan tersebut ke Jepun yang rata-rata mempersoalkan aspek keselamatan dan kebajikan haiwan-haiwan berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |