JERLUN – “Pengebumian enam beranak adalah yang paling sayu pernah saya urus, saya terlalu sedih apabila mengenangkan ada anak-anak kecil termasuk bayi dalam kejadian itu”
Demikian cerita Setiausaha Masjid At Taqwa, Mhd. Shukri Hassan ketika ditemui di tanah perkuburan Islam masjid tersebut yang menjadi tempat persemadian enam beranak ditemukan lemas dalam kereta di Sungai Korok, Jitra pada Isnin lalu.
Enam beranak itu ialah pasangan suami isteri, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan isteri, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat anak iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar, enam bulan.
Menurut Mhd. Shukri, dia sebak apabila melihat lima keranda dibawa masuk ke dalam masjid untuk disembahyangkan.
“Saya dimaklumkan jenazah bayi diletakkan di dalam salah satu keranda ahli keluarganya. Memang tak boleh tahan perasaan jika ia melibatkan anak-anak kecil sebab teringatkan anak saudara.
“Selain itu, saya tiada anak walaupun usia perkahwinan sudah 37 tahun, namun semua itu saya terima sebagai anugerah dan rezeki Allah,” katanya.
Katanya, perasaan sedihnya tidak dapat dibendung sehingga mengalirkan air mata kerana kejadian tersebut melibatkan enam sekeluarga yang meninggal dunia serentak.
“Inilah pengebumian paling sayu kerana melibatkan enam jenazah daripada sebuah keluarga. Semasa proses pengebumian malam Isnin lalu, lebih 1,000 hadir beri penghormatan,” ujarnya.
Tambahnya, dia dan pengurusan masjid berbincang dan bersetuju untuk menanggung kos menggali kubur untuk mengebumikan enam jenazah itu sebanyak RM1,800 bagi membantu meringankan beban keluarga mangsa.
“Seramai 15 orang melakukan kerja-kerja menggali kubur dari pukul 3 petang dan siap sebelum solat isyak. Alhamdulillah semua berjalan lancar,” katanya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan tanda tanya mengenai nasib sepasang suami isteri dan empat anak yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu terjawab selepas jasad mereka dijumpai 48 jam kemudian bersama kereta jenis Proton Iswara di dalam Sungai Korok Isnin lalu.
Lebih memilukan, ketika dijumpai pada pukul 9 pagi itu, enam beranak berada di tempat duduk belakang dan saling berpelukan. Mereka dipercayai cuba keluar untuk menyelamatkan diri, namun gagal.
Ketika kejadian, kesemua mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Jerlun selepas bermalam di rumah adik Mohamad Azim, Nur Adliah Syuhada, 26, di Taman Seri Aman, Jitra. – KOSMO! ONLINE