Pengarah syarikat pun kena tipu, rugi RM829,705

10 hours ago 5

KLUANG – Seorang pengarah sebuah syarikat terpaksa berputih mata selepas hasratnya untuk mendapat pulangan lumayan melalui pelaburan disertai tidak menjadi kenyataan selepas terjebak dalam aktiviti pelaburan tidak wujud sejak sebulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, lelaki berusia 56 tahun itu mula terjebak apabila terpengaruh dengan pelaburan menawarkan pulangan lumayan yang diiklankan dalam media sosial pada bulan Mac tahun ini.

Katanya, setelah menyatakan minat, mangsa telah diminta untuk memuat naik satu aplikasi pelaburan untuk menyertai tanpa membuat semakan terlebih dahulu sama ada ia palsu atau sebaliknya.

“Bermula 5 Jun hingga 9 Julai tahun ini, mangsa telah membuat pelaburan sebanyak RM829,705 dalam lima akaun bank berbeza secara berperingkat.

“Mangsa kemudiannya, mendapati keuntungan daripada pelaburan berkenaan berjumlah RM4,669,065.25 sebelum memohon untuk mengeluarkan wang tersebut.

BAHRIN

“Bagaimanapun, mangsa tidak mahu membuat sebarang bayaran tambahan sebagai syarat mengeluarkan keuntungan itu kerana merasakan dirinya tertipu,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Menurut Bahrin lagi, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan atau dengan denda jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |