Pemikir Majlis IPT pacu kecemerlangan dasar negeri Perak

6 hours ago 4

IPOH – Pemikir Majlis Institusi Pengajian Tinggi (Majlis IPT) menjadi salah satu agenda strategik kerajaan negeri Perak dalam memperkasa peranan IPT sebagai pemacu pembangunan sosioekonomi dan kecemerlangan dasar negeri Perak.

Institut Darul Ridzuan (IDR) dalam kenyataannya berkata, peranan Pemikir Majlis IPT yang dirasmikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di sini hari ini itu adalah selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030.

Katanya, Pemikir Majlis IPT itu merupakan hasil kesinambungan daripada penganjuran Perak Sejahtera 2030 Summit x Pemikir Darul Ridzuan yang telah berlangsung pada 9 Oktober 2024.

“Pemikir Majlis IPT ini adalah gedung yang menempatkan kepakaran dan juga wadah yang menyatukan Pemikir dalam kalangan ahli akademik.

“Pemikir dari Majlis IPT ini bakal membantu untuk memperkasa dasar pembangunan negeri melalui sumbangan pemikiran, tenaga dan sumber,” katanya di sini, hari ini.

Pelancarannya hari ini turut menyaksikan penyerahan Geran Pembangunan Kandungan Ekonomi Penjagaan iaitu sebuah usaha rintis yang dilaksanakan antara IDR dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Geran itu merupakan sebahagian daripada strategi negeri menjadikan Ipoh sebagai hab ekonomi penjagaan yang memfokuskan kepada kesejahteraan komuniti, warga emas, penjagaan kesihatan dan inovasi sosial.

IDR berkata, sebanyak RM100,000 telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri Perak melalui IDR untuk tujuan pembangunan kandungan bertemakan ekonomi penjagaan yang turut disepadankan dengan jumlah sama oleh UPSI bagi menyokong aspek penerbitan.

“Lima penerima geran telah dipilih dalam kalangan penyelidik UPSI setelah melalui proses saringan yang dilaksanakan oleh Research Management and Innovation Centre (RMIC) bersama dengan IDR berdasarkan kriteria pemilihan yang telus dan berimpak tinggi kepada keperluan pembangunan negeri,” katanya.

Menurut IDR, penubuhan Majlis IPT dan pelaksanaan geran itu diharapkan dapat menjadi pemangkin dalam memperkasa peranan akademik sebagai rakan strategik pembangunan negeri.

“Selain itu, memperkukuh dasar berteraskan kesejahteraan rakyat dan pembangunan mampan menjelang Perak Sejahtera 2030,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |