PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua pihak menghormati proses pelantikan Ketua Hakim Negara kerana ia tertakluk kepada Perlembagaan.
Perdana Menteri berkata, beliau menjelaskan dalam tempoh dua setengah tahun ini tidak pernah campur urusan keputusan mahkamah.
Menurutnya, jika ada pihak yang mahu meminda proses pelantikan itu, boleh mencadangkan pindaan Perlembagaan.
“Kita (buat masa ini) ikutlah proses dan peruntukan undang-undang yang ada.
“Kalau rasa nak pinda, cadang pindaan Perlembagaan. Tapi bidang (pelantikan Ketua Hakim Negara) ini kita ikut sahaja proses yang ada dan yang diamalkan selama ini,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan Solat Jumaat di Surau Ar-Rahim, Presint 15, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian susulan rancangan Badan Peguam Malaysia yang mahu mengadakan perarakan aman pada 14 Julai ini dari Istana Kehakiman ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) bagi menyerahkan memorandum penting yang menuntut tindakan segera bagi mempertahankan kebebasan institusi kehakiman negara.
Katanya, beliau menjelaskan soal proses pelantikan Ketua Hakim Negara dibentuk dalam Perlembagaan dan juga bidang kuasa masing-masing.
Anwar berkata, sebarang kekeliruan mengenai pelantikan Ketua Hakim Negara itu telah pun dijelaskan oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Presiden Majlis Peguam, Mohamad Ezri Abdul Wahab dilaporkan berkata, perarakan bertemakan “Perarakan Membela Kebebasan Kehakiman” itu adalah manifestasi kebimbangan semakin serius terhadap kekosongan jawatan utama kehakiman, kelewatan pelantikan, serta dakwaan gangguan dalam urusan pelantikan dan keputusan kehakiman.
Majlis Peguam sebelum ini menyuarakan kebimbangan dengan kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara susulan persaraan wajib Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat baru-baru ini.
Kekosongan itu menunjukkan ketiadaan pelan peralihan kepimpinan yang jelas dan tepat pada masanya sekali gus mencerminkan kegagalan institusi dan boleh menjejaskan keyakinan awam terhadap badan kehakiman.- KOSMO! ONLINE