Pelajar sekolah masih cinta buku berbanding gajet

21 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Pelajar sekolah masih berminat dengan bahan bacaan termasuk buku meskipun mereka dilahirkan dalam era teknologi serba canggih.

Permintaan tinggi pelajar untuk menyertai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 menunjukkan mereka masih mengutamakan buku sebagai sumber ilmu.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puchong Utama 1, Zubaidah Daud, 50, berkata, sambutan luar biasa dalam kalangan pelajar terhadap pesta buku itu membuktikan mereka tetap memilih buku dan bukan sekadar bergantung kepada gajet.

“Setiap tahun mereka (pelajar sekolah) menunggu untuk datang ke sini (PBAKL) kerana dapat membeli buku-buku baru dengan harga yang lebih murah.

“Semua yang sertai lawatan ke pesta buku memang mempunyai sikap suka membaca yang sudah tertanam dalam jiwa mereka walaupun kebanyakannya lebih tertumpu pada gajet,” katanya ketika ditemui Kosmo! di PBAKL, hari ini.

Sementara itu, guru Madrasah Al- Qurra’, Nor Bahiah Ab. Rahman, 34, berkata, walaupun pelajar generasi kini dilihat cenderung meluangkan masa dengan gajet, mereka masih mengutamakan pembacaan buku.

“Pada pandangan saya, meskipun pelajar sekolah semakin terikat dengan kecanggihan teknologi, namun minat dan peranan golongan berpengaruh di media sosial masih mampu menarik perhatian mereka (pelajar) untuk terus menjadikan buku sebagai bahan bacaan utama.

“Sebelum datang ke sini, mereka memang sudah ada penulis yang mereka mahu jumpa dan buku-buku yang mereka nak beli,” ujarnya.

Bagi guru Sekolah Rendah Bukit Rahmat, Rohaya Shamsudin, 49, yang membawa 40 murid ke pesta buku tersebut, beliau yakin pelajar masih memandang tinggi terhadap kepentingan buku.

“Walaupun para pelajar ada gajet yang canggih, mereka masih ada perasaan suka pada buku kerana ia merupakan sumber ilmu yang penting,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |