KOTA BHARU – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret Machang yang melepas dan membebaskan seorang pekerja rendah awam rumah sembelih Jabatan Veterinar Pengkalan Chepa atas pertuduhan mencuri lembu, kira-kira tiga tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Azhar Mokhtar membuat keputusan itu selepas menilai keputusan yang telah diputuskan oleh Mahkamah Majistret Machang berhubung kes yang dihadapi oleh Mohd. Balian Sidek, 46, pada 20 Julai tahun lalu.
Mahkamah bagaimanapun memerintahkan Mohd. Balian membela diri bagi pertuduhan mengingkari suatu perintah yang diisytiharkan oleh seorang anggota polis yang meminta tertuduh menyerah diri.
“Keputusan Mahkamah Majistret Machang pada 20 Julai tahun tahun lalu dikekalkan, namun tertuduh perlu membela diri bagi pertuduhan kedua,” katanya.
Terdahulu, Mohd. Balian mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada 5 Oktober 2023 atas dua pertuduhan kes mencuri lembu dan ingkar terhadap arahan polis sehingga berlaku kemalangan di Machang.
Pekerja rendah awam rumah sembelih Jabatan Veterinar Pengkalan Chepa itu kemudian menukar kepada pengakuan tidak bersalah selepas melantik peguam.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mencuri lembu milik Abdul Manaf Arifin, 55, di lorong depan sebuah rumah di Kampung Joh Labok, Machang dekat sini kira-kira pukul 5.30 pagi pada 25 September 2023.
Bagi pertuduhan kedua, Mohd. Balian didakwa mengingkari suatu perintah yang diisytiharkan oleh seorang anggota polis yang meminta tertuduh menyerah diri.
Bagaimanapun, tertuduh bertindak melarikan diri dengan kereta sehingga menyebabkan berlakunya pelanggaran di Jalan Labok, Machang pada waktu dan tarikh sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur Adila Mat Zaidan manakala tertuduh peguam Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri dan Nur Sarah Syamimi Safie.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM4,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu dan tertuduh membayar jaminan tersebut.
Akhbar Kosmo! sebelum ini melaporkan, tindakan ganas pencuri lembu yang cuba menyerang polis sebelum melarikan sebuah kereta peronda polis (MPV) mengundang padah apabila dia mati selepas terkena beberapa das tembakan dalam kejadian di Tok Bok, Machang pada 25 September 2023.
Kejadian pada pukul 4.30 pagi itu berlaku apabila kegiatan suspek berusia 33 tahun tersebut bersama rakannya disedari oleh orang awam selepas melihat sebuah kereta jenis Toyota Vios dalam keadaan mencurigakan sebelum menghubungi polis.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Ali Tamby berkata, sebelum itu, suspek dipercayai baru selesai menyembelih seekor lembu yang dicuri di kawasan berkenaan.
Katanya, suspek terus melarikan diri dengan menaiki kereta berkenaan melalui Jalan Machang ke arah Kota Bharu sebaik menyedari kehadiran polis.
“Anggota polis telah memberikan arahan melalui pembesar suara mengarahkan suspek berhenti, namun suspek terus memandu secara agresif hingga berlaku beberapa pelanggaran dengan MPV.
“Pelanggaran itu telah menyebabkan kereta dinaiki suspek terbabas ke kanan jalan di Kampung Labok. Ketika anggota polis turun untuk membuat pemeriksaan, salah seorang suspek telah keluar lalu menyerang polis sambil memegang senjata tajam,” katanya.
Menurut Mohd. Ali, polis telah memberi amaran, tetapi suspek ingkar arahan sehingga memaksa anggota melepaskan beberapa das tembakan ke arah kaki suspek untuk mempertahankan diri. – KOSMO! ONLINE

12 hours ago
9







![[VIDEO] Jangan tunggu kaya baru nak kahwin – Madnor](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-21-at-5.08.20-PM.jpeg)











![[VIDEO] Aktivis GSF 2.0, FFC diikat tangan di belakang, kepala atas lantai](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-20-at-10.33.30-PM.jpeg)



























