PETALING JAYA – Lebih 400 aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 dan Freedom Flotilla Coalition (FFC) yang diculik tentera Zionis Israel dilayan kasar dan tidak berperikemanusiaan oleh rejim tersebut di Pelabuhan Ashdod.
Layanan buruk dan kejam itu dipamerkan oleh mereka menerusi video dimuat naik Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben Gvir pada TikToknya sendiri.
Dalam video berkenaan, kelihatan tentera penjajah menarik rambut dan menolak kepala seorang aktivis wanita selepas dia melaung ‘free Palestine’ sebaik melihat Ben-Gvir.
Turut kelihatan aktivis tersebut diikat tangan ke belakang dan mereka dipaksa dalam posisi seperti sujud dengan kepala di atas lantai.
Selain itu, ada juga aktivis yang turut ditarik tentera rejim Zionis secara kasar selain pelbagai lagi kekerasan ke atas mereka.
Video tersebut turut dikongsikan oleh Chef de Mission Sumud Nusantara, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamarulzaman dan beliau berkata, aktivis wanita yang melaungkan ‘free Palestine’ itu dikenali sebagai Cat dari Ireland.
“Rambut pink (merah jambu), badan penuh tatu, tapi tak celaru dalam perjuangannya menolak kekejaman penjajah.
“Buruknya perangai Ben-Gvir ni sampai Sentanyahu (gelaran Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu) pun keluarkan kenyataan yang tindakan dia tak mewakili nilai dan prinsip Israhell (gelaran Israel). Eh kejap, Israhell ada nilai dan prinsip ke?,” katanya.
Sementara itu, The Legal Centre for Arab Minority Rights in Israel (Adalah) turut mengeluarkan kenyataan memberi maklum balas terhadap kekejaman rejim Zionis Israel terhadap aktivis GSF 2.0 dan FFC.
“Israel kini melaksanakan dasar jenayah berbentuk penderaan dan penghinaan terhadap aktivis yang berusaha menentang jenayah berterusan Israel terhadap rakyat Palestin.
“Kejadian ini berlaku selepas Adalah mendokumentasikan corak layanan buruk yang sama terhadap aktivis dalam misi-misi flotila terdahulu, yang mana Israel langsung tidak dikenakan sebarang pertanggungjawaban,” katanya.
Justeru, peguam-peguam Adalah bersama pasukan sukarelawan sedang memberikan khidmat nasihat undang-undang dan akan terus menuntut pembebasan segera serta tanpa syarat terhadap semua aktivis tersebut.
“Masyarakat antarabangsa mesti mengambil langkah segera untuk melindungi anggota flotila daripada tindakan ganas dan menyalahi undang-undang oleh pihak berkuasa Israel,” kata Adalah. – KOSMO! ONLINE
@itamar_ben_gvirככה אנחנו מקבלים את תומכי הטרור Welcome to Israel 🇮🇱
8 hours ago
8














































