PEMAIN beregu campuran berpengalaman negara, Lai Pei Jing akan berangkat ke Perancis selepas Kejohanan Badminton Terbuka Macau hujung bulan ini bagi menjadi rakan sepelatih buat skuad negara itu.
Ia adalah sebagai langkah persediaan pasukan dari Eropah itu untuk mempersiapkan beregu-beregu mereka bagi menghadapi Kejohanan Badminton Dunia yang akan berlangsung di Paris pada 25 hingga 31 Ogos depan.
Pei Jing berkata, dia mendapat tawaran tersebut daripada jurulatih negara berkenaan ketika beraksi dalam satu kejohanan di luar negara sebelum bersetuju untuk membantu beregu Perancis.
“Ada satu kejohanan di Eropah, jurulatih mereka datang jumpa saya dan bertanya sama ada saya berminat untuk datang menjadi rakan sepelatih dengan pemain-pemain Perancis. Mungkin mereka tidak ada pemain wanita yang boleh berikan saingan.
“Selepas itu, saya berbincang dengan Teo Kok Siang (jurulatih) kerana pemain-pemain lain di sini juga perlukan saya. Beliau tahu saya perlukan duit, jadi benarkan saya pergi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kejohanan Badminton Amal SBE Serla di Petaling Jaya semalam.
Pei Jing yang kini bergandingan dengan Jimmy Wong sebagai pemain profesional akan menyertai kem latihan bersama skuad kebangsaan Perancis untuk tempoh dua minggu sehingga Kejohanan Dunia berlangsung.
“Sebelum ini saya tidak pernah menjadi rakan sepelatih dengan mana-mana negara. Ini hanya sebagai kerja dan dalam hati saya sentiasa memberikan sokongan kepada pemain-pemain negara kita,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, penganjur Kejohanan Badminton Amal SBE Serla, Andrew Wai menjelaskan, lima kategori akan dipertandingkan pada kejohanan yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara pada 20 Julai ini.
“Seramai 200 pemain sudah mendaftar untuk kejohanan yang pertama kali dianjurkan ini. Format agak berbeza kerana mungkin dibuat secara liga sepusingan supaya pemain dapat menikmati kejohanan lebih lama,” ujarnya.