Pearly-Thinaah kekal, enggan dedah kandungan kontrak

12 hours ago 7

KUALA LUMPUR – Selepas lebih enam bulan bermain ‘tarik tali’, beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah akhirnya membuat keputusan untuk terus kekal bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Perkembangan itu diumumkan sendiri Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz selepas kedua-dua pemain menurunkan tandatangan ke atas kontrak yang akan menyaksikan mereka kekal sehingga 2028.

Zafrul berkata, kata sepakat yang dicapai itu mampu membantu Pearly-Thinaah untuk kembali memberikan fokus terhadap aksi di dalam gelanggang, termasuk kejohanan Terbuka Jepun minggu depan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, isi kandungan kontrak tidak boleh didedahkan kerana menganggap ia sulit dan sebagai tanda menghormati kedua-dua pemain berkenaan.

“Alhamdulillah saya ingin mengumumkan bahawa BAM dan beregu wanita, Pearly-Thinaah sudah mencapai persetujuan berhubung isu kontrak mereka. Ini adalah hasil perbincangan bersama demi masa depan badminton negara.

“Terma-terma kontrak itu tidak boleh dikongsi, sama seperti kontrak-kontrak sebelum ini dengan pemain lain. Kita tidak berkongsi kerana menghormati pasukan dan kedua-dua pemain,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar khas di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini.

Sebelum ini, ada desas-desus yang mendakwa kedua-dua pemain itu meminta RM1 juta setahun setiap seorang sekiranya badan induk sukan badminton berkenaan mahu mereka terus kekal di ABM.

Sebaik sahaja kemelut tersebut selesai, beregu No.3 dunia itu akan mengharungi tiga kejohanan penting bermula Terbuka Jepun 15 hingga 20 Julai ini, Terbuka China (22-27 Julai) dan Kejohanan Dunia 25 hingga 31 Ogos depan.

Sementara itu, Thinaah mengakui lega sebaik sahaja isu berhubung kontrak mereka sudah selesai selain menghargai pengurusan BAM kerana memahami serta menyokong situasi yang dihadapi.

“Ia bukan salah mana-mana pihak (melambatkan kontrak) tetapi jadual kejohanan kami berdua sangat padat. Kami sangat lega kerana semua sudah selesai dan kini boleh fokus ke hadapan,” ujarnya.

Sebagai rekod, kedua-dua pemain itu bermain tanpa terikat dengan sebarang kontrak selama lebih enam bulan selepas kontrak sedia ada tamat pada Disember tahun lalu sehingga menimbulkan persoalan berhubung masa depan mereka di BAM. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |