PAC Selangor lapor polis, dakwa NC Unisel hina DUN

6 hours ago 3

SHAH ALAM – Tindakan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) yang didakwa gagal hadir sebanyak dua kali bagi penerangan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) negeri ini disifatkan menghina Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, berdasarkan rekod Senator Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman tidak hadir mesyuarat PAC pada 12 dan 18 Jun lalu bagi menjawab 10 isu berbangkit berhubung pengurusan kewangan Unisel seperti didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

“Saya sudah pun memaklumkan kepada DUN bahawa PAC sebulat suara bersetuju supaya tindakan diambil terhadap Naib Canselor Unisel kerana kegagalan beliau untuk hadir sebanyak dua kali bagi memberi keterangan.

“Kalau kita rujuk kepada Perkara 3 dan 4 (Enakmen Penghinaan Dewan Negeri Selangor 2009), kegagalan untuk hadir apabila diperintahkan boleh ditafsirkan sebagai satu tindakan menghina dewan dan perkara itu boleh menyebabkan tindakan diambil menurut peruntukan undang-undang seda ada,” katanya pada sidang akhbar di lobi Dewan Annex, hari ini.

Mohamed Azmin yang juga Ketua Pembangkang DUN Selangor memaklumkan, PAC telah menghantar surat kepada Kamar Penasihat Undang-Undang Selangor dan dinasihatkan agar membuat laporan polis terhadap Mohammad Redzuan.

Tambahnya, laporan berkaitannya telah dibuat pada 2 Julai lalu di Balai Polis Shah Alam.

“Saya difahamkan beberapa saksi sudah pun dipanggil dan kita serahkan hasil siasatan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Sebelum itu, Mohamad Azmin telah membawa usul Penyata PAC bagi Dewan Negeri Selangor Ke-15 berhubung LKAN bagi 2021, 2022 dan 2024 pada sidang DUN Selangor.

Menurut usul itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang itu menyatakan 13 agensi sudah dipanggil untuk memberikan penerangan antaranya Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, Pejabat Tanah dan Galian Selangor, beberapa pejabat tanah dan daerah (PTD) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |