Ops Metal: SPRM sita aset lebih RM183 juta

5 hours ago 3

SEBERANG PERAI – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita pelbagai aset dianggarkan bernilai lebih RM183 juta susulan serbuan terhadap sindiket penyeludupan besi buruk di lima negeri termasuk Pulau Pinang, bermula kelmarin.

Dalam operasi Ops Metal, sebanyak 45 akaun syarikat dan 82 akaun perbankan milik individu melibatkan nilai kira-kira RM51 juta turut dibekukan.

Operasi tersebut diketuai Bahagian Operasi Khas SPRM dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi Op Metal secara Multi Agency Task Force.

Menurut sumber, aset yang disita itu melibatkan lapan hartanah di Pulau Pinang iaitu tiga unit banglo di Batu Maung, satu unit Penthouse di Tanjung Tokong, satu unit lot kedai di Bayan Lepas, 31 ekar tanah di Nibong Tebal, 7.1 ekar tanah di Batu Uban, 5.6 ekar tanah di Juru selain lebih 1,960 ekar tanah ladang sawit di Kuala Krai, Kelantan.

“SPRM juga turut menyita enam unit kereta mewah yang terdiri daripada model Porsche Cayenne, Range Rover, BMW, Volvo, Toyota Land Cruiser dan Toyota Alphard yang keseluruhannya dianggarkan bernilai lebih RM1.9 juta.

“Pada serbuan itu juga, SPRM turut menyita lima unit jam tangan berjenama Patek Phillippe, Tag Tag Heuer, Rolex, Omega Speedmaster dan Omega Seamaster dianggarkan bernilai lebih RM740,000,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki Ketika dihubungi mengesahkan mengenai pembekuan akaun-akaun perbankan berkenaan serta sitaan melibatkan hartanah, kenderaan mewah erta jam tangan terbabit.

Katanya, susulan operasi pada Isnin itu, SPRM turut membuat penggeledahan di 13 lokasi baharu di Pulau Pinang, Kedah, Johor dan sekitar Lembah Klang hari ini.

“SPRM kini sedang mengenal pasti pihak-pihak yang bersekongkol dengan sindiket ini yang menyeludup keluar besi serta bahan buangan e-waste melalui Pelabuhan Klang dan Pulau Pinang sehingga menyebabkan kerajaan kerugian hasil cukai dianggarkan berjumlah lebih RM950 juta sejak enam tahun lalu.

“Fokus siasatan adalah menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 16 dan 18 Akta SPRM 2009 selain penyiasatan turut menganalisis dan mengenal pasti elemen-elemen kesalahan jenayah lain di bawah kesalahan aktiviti pengubahan wang haram,” ujarnya.

Tambah beliau, siasatan turut dijalankan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 serta Akta Kastam 1967 oleh agensi-agensi lain yang terlibat dalam operasi tersebut. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |