Operasi musim haji 2025 adalah yang terbaik, diiktiraf Kerajaan Arab Saudi – Mohd. Na’im

9 hours ago 3

SEPANG – Pengurusan operasi haji bagi tahun 1446H/2025 mencatat sejarah tersendiri dan dianggap terbaik berdasarkan anugerah tertinggi diraih Tabung Haji (TH) atas kecemerlangan dalam pengurusan jemaah haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd. Na’im Mokhtar berkata, beliau secara peribadi juga menyifatkan musim haji tahun ini adalah yang terbaik.

Beliau berkata, ini kerana buat kali pertamanya, TH dinobat penerima ‘Diamond Award’, anugerah tertinggi dalam Majlis Anugerah Labaytum 2025 yang dianjurkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

“Pencapaian ini mengukuhkan lagi kedudukan TH sebagai institusi pengurusan haji bertaraf dunia, selepas merangkul Labaytum Award untuk tiga tahun berturut-turut sebelum ini.

“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat seluruh warga kerja TH daripada peringkat pengurusan tertinggi hingga ke lapangan yang bekerja dalam semangat pasukan demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah Malaysia.

“Penganugerahan Diamond Award ini cukup istimewa dan menjadi pengiktirafan atas usaha semua pihak,” katanya ketika ditemui pada majlis tamat operasi musim haji 1446H/2025 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam tadi.

Terdahulu, Mohd Na’im bersama Pengerusi TH dan barisan kepimpinan TH turut berkesempatan menyambut ketibaan seramai 264 orang jemaah daripada KT093 yang telah tiba pada pukul 9.35 malam tadi menerusi pesawat AMAL by Malaysia Airlines (MH 8395).

Operasi Haji bagi tahun 1446H/2025M akan tamat secara rasmi dengan ketibaan seramai 232 orang jemaah daripada kumpulan terakhir dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Putra Mohammad bin Abdulaziz, Madinah yang dijangka tiba di tanah air pukul 12.10 tengahari ini.

Katanya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada para jemaah Malaysia yang telah menunjukkan tahap disiplin dan kepatuhan tinggi terhadap segala peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi serta pihak TH sendiri.

Bagaimanapun, Mohd Na’im berkata,
beliau turut mengakui masih terdapat ruang penambahbaikan, khususnya apabila berdepan cabaran seperti cuaca ekstrem yang panas terik di Tanah Suci sepanjang musim haji kali ini.

“Bagi pihak Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Rashid Hussain, dan seluruh barisan pengurusan tertinggi, kami memohon ampun dan maaf atas sebarang kekurangan atau kesilapan sepanjang perkhidmatan.

Dalam pada itu, katanya, pada operasi haji kali ini, seramai 22 jemaah haji Malaysia meninggal dunia di tanah suci berbanding 28 orang pada tahun sebelumnya.

“Kebanyakan jemaah haji yang meninggal dunia ni ada kaitan dengan serangan jantung dimana dalam 20 jemaah haji diserang sakit jantung dan meninggal dunia manakala dua mungkin disebabkan oleh jangkitan kuman paru-paru,” katanya.

Katanya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua organisasi media yang membuat liputan dengan baik pada operasi haji tahun ini.

Jelasnya lagi, laporan media bukan sahaja dapat menaikkan imej TH tetapi rakyat dapat lihat setiap usaha dan kerja yang dilakukan oleh warga TH dalam memastikan jemaah dapat melakukan ibadat haji dengan sempurna tanpa ada perlu rasa bimbang daripada keselamatan dan kesihatan.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |