PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggempur 13 premis perjudian yang berselindung di sebalik lesen Pusat Hiburan Kekuarga (PHK) dan Pusat Hiburan Interaktif (PHI) di Selangor dan Sabah.
Op Dadu Khas dilancarkan oleh Bahagian D7, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman selama dua hari (Rabu dan Khamis) hasil risikan dan maklumat orang awam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu, berkata sebanyak lapan premis sekitar Seri Kembangan dan Klang Utara, Selangor serta lima premis di Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan, Sabah telah diserbu secara berasingan dalam operasi berkenaan.
Beliau berkata, premis-premis ini didapati cuba mengaburi pihak berkuasa dengan mempamer dan mengiklankan premis mereka dengan lesen berbentuk aktiviti PHK yang secara lazimnya menawarkan khidmat permainan simulator untuk kanak-kanak.
“Sepatutnya ada permainan boling atau permainan kanak-kanak lain sebaliknya aktiviti dalam premis ini adalah peralatan komputer yang menganjurkan aktiviti perjudian.
“Dalam operasi ini seramai 52 penjaga premis dan pemain perjudian terdiri daripada rakyat tempatan dan warga asing ditahan dalam serbuan di Selangor manakala 11 lagi penjaga dan pemain ditahan di Sabah,” katanya.
Tambah M Kumar, kesemya yang ditahan dalam operasi di kedua-dua negeri terbabit berusia antara 20 hingga 75 tahun.
“Selain itu, pihak polis turut merampas tablet, peralatan komputer, mesin perjudian serta wang tunai dalam kesemua serbuan yang dibuat,” ujarnya.
M Kumar berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, Seksyen 4(1)(c), Seksyen 6(1) akta yang sama, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama.
Tegasnya, operasi ini akan diteruskan tanpa henti dan beliau turut memberi amaran keras kepada penganjur dan sindiket-sindiket yang menawarkan aktiviti judi seperti ini untuk tidak cuba ‘menghidupkan’ kembali aktiviti perjudian di negara ini.
“Saya telah beri arahan kepada semua Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) di setiap kontinjen di seluruh negara, untuk memantau dan memastikan sebarang aktiviti perjudian dibanteras secara habis-habisan,” katanya.
Beliau berkata, JSJ turut tidak menolak kemungkinan bahawa sindiket perjudian pada masa ini sedang cuba menjalankan semula aktiviti premis perjudian.
“Apa yang saya lihat trend pada masa ini adalah sindiket cuba beralih kepada aktiviti permainan mesin perjudian berbentuk besar seperti simulator dan komputer riba, sama besar seperti skrin tv bersaiz 36 inci.
“Saya ingin beri peringatan bahawa dalam elemen perjudian ini, pemain pastinya akan memgalami kerugian selepas membuat pertaruhan sehingga ribuan dan jutaan ringgit,” katanya.- KOSMO! ONLINE

7 hours ago
5







![[VIDEO] ‘Tengok Mekna gembira, sedih teringat Dara, Amoi dan Kelat di Jepun’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/Kegembiraan-Mekna-gambar-kecil-mandi-di-sebatang-sungai-di-Kuala-Gandah-Pahang-membuatkan-orang-ramai-sedih-terkenangkan-Dara-Amoi-dan-Kelat-yang-dihantar-ke-Jepun-baru-baru-ini..jpeg)









































