Nurul Izzah janji bawa keadilan untuk mangsa gangguan ustaz selebriti

13 hours ago 5

PETALING JAYA – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berikrar untuk membela nasib seorang remaja yang didakwa menjadi mangsa gangguan seksual oleh seorang individu bergelar ustaz selebriti.

Nurul Izzah mendedahkan berhubung remaja tersebut yang meminati nasyid telah didekati oleh ustaz berkenaan dengan niat kononnya untuk membimbingnya ke jalan agama.

Namun, tindakan suspek yang membawa mangsa ke negeri lain atas alasan menghadiri persembahan nasyid akhirnya bertukar menjadi pengalaman hitam apabila mangsa mendakwa diganggu secara seksual oleh lelaki itu di sebuah bilik hotel.

“Ustaz tu mula masukkan tangan dalam seluar adik… dan meraba-raba,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Katanya, mangsa yang ketakutan melarikan diri dan mengurung diri dalam bilik air selama lima jam sebelum berjaya menghubungi ahli keluarganya. Laporan polis telah dibuat sejurus selepas kejadian.

Lebih mengejutkan, keluarga mangsa dimaklumkan bahawa terdapat beberapa laporan polis lain terhadap suspek sebelum ini, menimbulkan persoalan mengapa tiada tindakan tegas diambil lebih awal.

Tambahnya, sebagai menambah penderitaan keluarga B40 itu, mereka kini pula berdepan dengan saman fitnah bernilai ratusan ribu ringgit oleh ustaz terbabit, yang menuntut permohonan maaf secara terbuka.

“Remaja tersebut yang pernah bercita-cita mahu menjadi seorang cikgu kini mengalami trauma mendalam, perlu mendapatkan rawatan kaunseling secara berkala dan bergantung kepada ubat-ubatan, selain prestasi akademiknya turut merosot,” katanya.

Justeru itu, Nurul Izzah menyatakan pendiriannya untuk terus memperjuangkan keadilan buat mangsa.

“Saya tidak akan berundur walau selangkah. Saya akan bawa pasukan peguam, saya akan pastikan adik ini dilindungi dan keadilan itu akhirnya berpihak kepada yang benar, insya-Allah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |