Negara miskin murah rezeki anak, 5 negara ‘lubuk’ kembar

10 hours ago 5

HAMPIR satu dalam setiap 100 kelahiran di dunia adalah kelahiran kembar dua, manakala kembar tiga dan empat jarang berlaku dengan kebarangkalian sekali dalam 10,000 kelahiran.
Daripada kelahiran kembar di seluruh dunia pula, benua Afrika mencatatkan kelahiran kembar tertinggi.

Menurut Cairn.info, daripada 2.8 juta kembar yang dilahirkan di seluruh dunia, hampir 1.1 juta (41 peratus) dilahirkan di Afrika, 39 peratus dilahirkan di Asia, 13 peratus di Amerika Syarikat, enam peratus di Eropah dan 0.5 peratus di Oceania.

Antara sebab utama yang menjadi faktor kelahiran kembar lebih kerap di Afrika adalah kadar kelahiran bayi di Afrika sendiri dua kali hingga empat kali lebih tinggi daripada purata kadar kelahiran di benua-benua lain.
Statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pada tahun 1999 mendapati kadar kelahiran Afrika mencapai 37 kanak-kanak bagi setiap 1,000 penduduk berbanding hanya 21 di Asia dan 10 di Eropah.

Selain itu, faktor genetik juga memainkan peranan penting yang menyebabkan kadar kelahiran kembar sangat tinggi di Afrika, di samping diet pemakanan yang diamalkan oleh para wanita di sana.

Sehubungan itu, CitaRasa pada kali ini kongsikan lima negara di dunia yang mempunyai bilangan kelahiran kembar yang tertinggi di dunia sepertimana dilaporkan Vanguardngr dan sememangnya ia didominasi negara-negara Afrika.

1- Benin

MENDAHULUI senarai adalah Benin yang mempunyai 27.9 kelahiran kembar bagi setiap 1,000 kelahiran, sekali gus mencatatkan kadar kembar semula jadi tertinggi di dunia.

Faktor genetik dikatakan menjadi sebab peratusan kelahiran kembar terutamanya dalam kalangan wanita daripada kumpulan etnik tertentu di negara ini.

Kadar kelahiran kembar yang lebih tinggi berbanding negara lain itu menjadikan Benin kawasan penting untuk menyelidik punca dominasi kembar.

Selain daripada itu, Benin juga mengamalkan tradisi kepercayaan voodoo yang melihat kembar sebagai satu signifikan dengan budaya dan memandang penting kembar sehingga ada yang dianggap umpama dewa.

2- Ivory Coast (Cote d’Ivoire)

DI tempat kedua adalah Ivory Coast yang mempunyai kadar kelahiran kembar sebanyak 24.9 bagi setiap 1,000 kelahiran. Sama seperti Benin, kelahiran kembar di negara ini dikatakan disebabkan faktor keturunan yang memainkan peranan utama dalam kadar kelahiran kembar di negara Afrika Barat ini.

Peluang lebih tinggi untuk mendapat anak kembar terutamanya dalam kalangan ibu dan bapa yang juga kembar, hasil perkongsian ciri genetik dalam kalangan penduduk Ivory Coast.

3- Nigeria

NEGARA Nigeria juga mencatatkan kadar kelahiran kembar antara yang tertinggi, terutamanya di barat daya. Disebabkan kadar kelahiran kembar yang sangat tinggi dalam kalangan etnik Yoruba di Igbo-Ora yang mendapat gelaran ‘Twin Capital of the World’.

Hampir semua keluarga di kawasan ini dianggap mempunyai sekurang-kurangnya sepasang anak kembar. Kadar kembar yang lebih tinggi kebanyakannya disebabkan oleh komposisi genetik populasi.

Kelahiran kembar di Igbo-Ora turut dikaitkan dengan diet pemakanan para wanita di sana iaitu mengamalkan makanan istimewa tempatan yang dipanggil amala, diperbuat daripada tepung keladi.

Perkara itu disokong oleh Pakar Sakit Puan dari Abuja, John Ofem dengan mengatakan ada makanan yang diamalkan oleh masyarakat di situ menyebabkan berlakunya ovulasi berganda.

4- Republik Afrika Tengah

SEPERTI negara Afrika lain, Republik Afrika Tengah juga mempunyai kadar kembar yang tinggi. Susunan genetik di negara ini menyumbang kepada kemungkinan kelahiran kembar yang lebih tinggi, terutamanya dalam kalangan pasangan yang juga mempunyai genetik kembar.

Kelahiran lebih daripada satu adalah perkara biasa di sini berbanding di kebanyakan tempat lain di dunia kerana kecenderungan genetik penduduk.

5- Republik Demokratik Congo

AKHIR sekali, Republik Demokratik Congo (DRC) tidak ketinggalan menyumbang kepada peratusan tertinggi kelahiran kembar di negara benua Afrika. Sama seperti negara Afrika yang lain, kelahiran berganda di negara ini adalah disebabkan oleh genetik.

Faktor kembar ini dikaitkan oleh gabungan pemboleh ubah genetik dan persekitaran, terutamanya dalam komuniti luar bandar yang mempunyai akses terhad kepada rawatan reproduktif.

Read Entire Article
Pertanian | | | |