DUA puluh tahun bukan angka kecil dalam dunia seni. Semua itu lahir daripada jatuh bangun, air mata tersembunyi dan kesetiaan terhadap muzik meskipun arus industri berubah tanpa henti.
Di persimpangan itu, nama Amylea Azizan terus berdiri tenang, matang dan semakin berani menyusun langkah baharu.
Dalam denyut nadi perjalanan seninya, penyanyi dan komposer kelahiran Alor Setar, Kedah itu kini memilih untuk meraikan cinta peminat dengan cara lebih dekat, jujur dan bermakna.
Bukan hanya hadir sebagai penghibur, tetapi sebagai insan seni yang mahu berkongsi perjalanan panjang penuh makna.
Detik itu mula tercetus menerusi kejayaan acara pra ‘showcase’ Vicenary, sebuah sesi intim bersama peminat yang berlangsung Ahad lalu.
Sambutan hangat terhadap acara berkenaan membuka lembaran baharu buat Amylea untuk merancang sebuah ‘showcase’ berskala lebih besar sepanjang tahun ini.
Menurut Amylea, idea mementaskan ‘showcase’ sebenarnya sudah lama berlegar dalam fikiran, namun kerisauan terhadap sambutan peminat membuatkan hasrat itu disimpan bertahun lamanya. Katanya, keberanian menganjurkan pra ‘showcase’ Vicenary hadir secara spontan, malah dirancang dalam tempoh singkat.
“Sejak dua tahun lalu ramai bertanya sama ada saya mahu buat showcase. Memang ada keinginan, cuma timbul rasa takut, ada atau tidak peminat yang sanggup hadir.
“Tahun ini genap 20 tahun saya dalam industri muzik, jadi saya fikir inilah masa paling sesuai untuk memulakan langkah itu.
“Apatah lagi saya ada dua lagu baharu. Jadi saya jadikan sesi ini sebagai ruang peminat mendengar karya terkini, selain promosi awal. Dalam dua minggu sahaja semuanya dirancang,” katanya kepada HibGlam.
GENAP dua dekad dalam industri muzik, tahun ini bakal menjadi tempoh paling sibuk buat Amylea Azizan.Lagu baharu
Pada malam penuh emosi itu, wanita berusia 39 tahun itu turut memperdengarkan dua single terbaharu berjudul Binasa dan Genasara, karya yang turut dipilih sebagai runut bunyi drama arahan Shahrulezad Mohameddin bagi siaran Ramadan.
Menurutnya, dua lagu tersebut menjadi hadiah istimewa buat peminat yang setia bersama perjalanan seninya sejak awal.
“Untuk Anugerah Juara Lagu, tentu saya mengharapkan Seribu Tahun Lagi. Namun, bagi dua lagu baharu ini, harapan saya agar dapat dipromosikan dengan baik serta diterima pendengar.
“Selepas pertengahan tahun, saya akan lancarkan dua lagi single baharu bagi melengkapkan projek EP (mini album) berjudul Vicenary,” ujarnya.
Dalam perbualan lebih mendalam, bekas peserta Akademi Fantasia musim ke-3 (AF3) itu mengakui tahun ini bakal menjadi fasa paling sibuk buat dirinya. Selain fokus promosi lagu, impian menganjurkan ‘showcase’ sebenar turut menjadi keutamaan.
“Peminat sering bertanya tentang showcase. Sudah tentu saya mahu adakannya.
“Tetapi sebelum melangkah lebih jauh, saya perlu memulakan sesuatu terlebih dahulu. Maka lahirlah idea sesi bersama peminat untuk memperkenalkan Binasa dan Genasara.
“Acara ini juga menjadi ruang awal untuk saya war-warkan tentang showcase yang lebih besar nanti. Perancangan sudah ada, cuma tarikhnya belum ditetapkan,” kongsinya.
Paling penting kata penyanyi berkulit hitam manis itu, sokongan peminat menjadi nadi utama sepanjang dua dekad perjuangan seninya.
Justeru, segala perancangan dibuat bukan demi glamor semata-mata, tetapi sebagai tanda penghargaan terhadap kesetiaan tidak berbelah bahagi.
“Tumpuan saya sekarang adalah memastikan dua lagu baharu ini benar-benar sampai kepada pendengar. Kesemuanya nanti akan dihimpunkan dalam sebuah EP yang insya-Allah dipasarkan tahun ini,” tutupnya.

1 day ago
5


![[VIDEO] ‘Kenapa aku nampak kepala terbang’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-03-at-6.02.02-PM.jpeg)
![[VIDEO] Bergurau ketika solat, penghadang jatuh hempap budak hingga longlai](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-03-at-5.58.44-PM.jpeg)



![[VIDEO] ‘Faizah…hiburkanlah saya’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-03-at-3.46.22-PM.jpeg)









































