KUALA LUMPUR – Revolusi penstriman tempatan terus mara ke hadapan apabila MYTV Broadcasting Sdn. Bhd. hari ini memperkenalkan MYTV Mana-Mana Premium, satu pencapaian baharu yang menawarkan hiburan berkualiti tinggi dengan harga mampu milik.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MYTV, Mohamad Helmi Harith, pelancaran tersebut mengukuhkan komitmen syarikat terhadap misi menyediakan kandungan terbaik kepada segenap lapisan masyarakat.
“Hari ini menandakan satu pencapaian penting buat MYTV Mana-Mana. Segala kejayaan ini terhasil daripada kerjasama kukuh dan sinergi hebat dengan rakan-rakan industri kami.
“Kami amat menghargai kepercayaan dan sokongan padu daripada semua pihak,” katanya kepada Kosmo Online dalam majlis pelancaran Unlocked The Full MYTV Mana-Mana Experience, di sini, hari ini.
Sementara itu Pemangku Ketua Pegawai Operasi MYTV, Syaffandi Shahrom, berkata, penawaran baharu itu bukan hanya tentang kandungan, tetapi meraikan kreativiti dan keterangkuman.
“Hiburan premium tidak semestinya datang dengan harga premium.
“Kami bangunkan MYTV Mana-Mana Premium untuk keluarga, pelajar dan individu, sama ada menonton di telefon, tablet atau skrin besar.
“Harapan kami, rakyat di bandar dan luar bandar sama-sama dapat menikmati kandungan yang dibawakan,” ujarnya.
MYTV Mana-Mana Premium ditawarkan dengan bayaran serendah RM6.90 sebulan, membawakan siaran TV langsung, kandungan video atas permintaan (VOD), serta produksi eksklusif tempatan menerusi label MYTV Originals.
Kandungan merangkumi filem pecah panggung, drama lokal dan antarabangsa, animasi kanak-kanak, rancangan Korea dan Indonesia, program sukan serta dokumentari berinformasi semuanya dalam satu platform.
Lebih 800,000 muat turun telah dicapai menerusi versi percuma MYTV Mana-Mana yang kekal tersedia kepada semua, sekali gus mengukuhkan lagi akses hiburan tanpa had untuk seluruh rakyat Malaysia.
Dalam pada itu, MYTV turut mengumumkan kerjasama strategik bersama PRISM+, FoodPanda dan MPH Bookstores sebagai rakan kolaborasi ekosistem.
Menurut Helmi, kolaborasi ini bakal mencipta pengalaman baharu yang menggabungkan kandungan, komuniti dan gaya hidup digital.
“Gabungan sinema dan gaya hidup akan memperluaskan jangkauan kami dan mewujudkan nilai tambah kepada pengguna.
“Kami teruja untuk kongsi lebih banyak maklumat mengenai kerjasama ini tidak lama lagi,” jelasnya.
Dengan permintaan rakyat Malaysia terhadap penstriman kian meningkat, MYTV Mana-Mana Premium muncul sebagai peneraju hiburan digital tempatan menyatukan generasi dan menawarkan hiburan berkualiti untuk semua. – KOSMO! ONLINE