MotoGP: Martin kian menyala, misi tawan takhta bermula

9 hours ago 7

LE MANS – Pelumba Sepanyol, Jorge Martin menghidupkan kembali peluang perebutan gelaran dunia MotoGP musim ini selepas mencipta kejutan melakar kemenangan sulung bersama pasukan Aprilia Racing pada Grand Prix (GP) Perancis, lewat malam kelmarin.

Lebih manis, kemenangan di Litar Le Mans tersebut memastikan Martin mengumpul 127 mata dan hanya ketinggalan satu mata di belakang rakan sepasukan, Marco Bezzecchi yang terus mendahului carta keseluruhan dengan 128 mata selepas lima pusingan perlumbaan.

Juara dunia 2024 itu juga menghadiahkan keputusan bersejarah buat Aprilia apabila mereka menguasai podium menerusi kedudukan satu-dua-tiga buat kali pertama dalam perlumbaan MotoGP.

Pada saingan itu, Martin mempamerkan kebangkitan luar biasa selepas bermula perlahan di kelompok pertengahan sebelum meningkatkan rentak pada penghujung perlumbaan dan memintas Bezzecchi dua pusingan terakhir sebelum menuju ke garisan penamat.

MARTIN meraikan kemenangan bersama pasukannya sejurus menjuarai GP Perancis. -AFP

“Saya mengharungi perlumbaan yang sangat baik. Kelajuan jentera semakin meningkat dan saya berjaya mengawal perlumbaan dengan lebih baik pada penghujung saingan,” katanya.

Sementara itu, Bezzecchi mengakui dia tidak memiliki kelajuan terbaik untuk mempertahankan kedudukan di depan, namun tetap gembira dapat mengekalkan kedudukan selaku pendahulu kejuaraan dunia.

“Perlumbaan ini memang sangat sukar dan saya tahu hari ini bukan perlumbaan terbaik buat saya. Jadi saya tetap gembira dengan keputusan ini,” ujar pelumba Itali tersebut.

Dalam masa sama, Ai Ogura turut mencuri tumpuan apabila menghadiahkan podium pertama kariernya menerusi tempat ketiga bersama Trackhouse Racing sekali gus melonjak ke tangga kelima keseluruhan musim ini.

Keputusan di Le Mans itu dijangka terus memanaskan perebutan gelaran dunia menjelang GP Catalunya minggu depan dengan Martin dan Bezzecchi kini hanya dipisahkan satu mata dalam carta keseluruhan pelumba. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |