Mindef perkenal 5 inisiatif perkasa pendidikan, kemahiran warga ATM

8 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Lima insiatif diperkenalkan Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam memperkasa pendidikan, kemahiran dan kebajikan anak-anak serta keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, inisiatif pertama adalah Program e-Perkasa SPM 2025 melibatkan 652 pelajar dari kalangan anak-anak ATM yang bersekolah di luar kem.

Jelasnya, program tersebut dijalankan dengan kerjasama Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“Melalui program ini, pelajar terpilih dibekalkan dengan peranti secara percuma tajaan BHIC AeroServices Sdn Bhd (BHICAS) dan Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) serta Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (Pernama) selaku penaja keseluruhan program,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Inisiatif Pendidikan Yayasan LTAT 2025 di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Mindef turut menerima sumbangan tanggungjawab sosial (CSR) sebanyak RM3.2 juta daripada Affin Bank Berhad, BHPetrol dan Kemalak Group Sdn. Bhd. bagi memperkasa masa depan generasi pertahanan.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, inisiatif kedua adalah Program Sentuhan Elit SPM yang melibatkan seramai 658 orang pelajar terpilih dari enam buah Sekolah Dalam Kem (SDK).

Katanya, melalui program ini, pelajar berpeluang mengikuti Tuisyen Intensif SPM (Sijil Pelajaran Malaysia, Bengkel Teknik Menjawab Soalan, Pecutan Akhir SPM, Program Motivasi Pelajar & Ibu Bapa dan Program Kerjaya & Hala Tuju Selepas SPM.

“Inisatif ketiga pula membabitkan Program Kemahiran Keluarga Tentera (K²T) membabitkan 22 bidang kursus jangka pendek seperti masakan, solekan, kraftangan, pemasaran digital, kursus grafik dan Artificial Intelligence (AI).

“Selain itu, anak-anak anggota tentera yang mengikuti pengajian di Institusi Pengajian Mara di dalam bidang TVET dan setaraf akan menerima tajaan yuran tidak melebihi RM3,000 seorang,”katanya.

Inisiatif keempat pula kata Mohamed Khaled adalah Program Simpanan Pendidikan MADANI yang merupakan hasil daripada kolaborasi antara Yayasan LTAT bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Ujarnya, melalui program itu, seramai 3,775
pelajar Tahun 1 dalam kalangan anak-anak anggota tentera yang masih berkhidmat menerima sumbangan RM50 secara one-off dalam bentuk akaun Simpanan
SSPN Prime dengan jumlah keseluruhan sumbangan adalah sebanyak RM188,750.

“Inisiatif kelima adalah Program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan kerjasama Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan Universiti Sains Malaysia (USM),”katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |