Menteri beri amaran, 2,600 penjawat awam ponteng kerja 

10 hours ago 6

JAKARTA – Menteri Hal Ehwal Sosial Indonesia, Saifullah Yusuf memberi amaran bahawa penjawat awam dan kakitangan di bawah kementeriannya boleh dipecat jika melanggar peraturan terutamanya mereka yang sengaja tidak hadir bertugas selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri, lapor laman berita Jakarta Globe. 

Saifullah berkata, lebih 2,600 kakitangan kementerian di seluruh Indonesia didapati tidak hadir tanpa mengemukakan alasan munasabah kelmarin, hari pertama bekerja selepas sambutan Aidilfitri. 

Daripada jumlah tersebut katanya, seramai 156 individu berkhidmat di ibu pejabat kementerian, pejabat wilayah atau pusat perkhidmatan lain, manakala 2,500 lagi merupakan pekerja lapangan di bawah Program Harapan Keluarga (PKH). 

“Saya sedih apabila mengetahui bahawa kakitangan PKH yang tidak berdisiplin ini baru sahaja dilantik dan belum lagi berkhidmat sebagai pekerja kerajaan selama setahun,” katanya.

Saifullah menekankan bahawa beliau akan mengeluarkan amaran keras terhadap 500 kakitangan PKH berhubung masalah disiplin pada tahun 2025, dengan 49 pekerja telah diberhentikan. 

Beliau menambah, tiga lagi kakitangan diberhentikan pada tahun ini atas sebab serupa.

“Pada masa hadapan, kami tidak akan teragak-agak untuk memberhentikan pekerja dan penjawat awam bermasalah serta tidak berdisiplin,” tambahnya, sambil menegaskan bahawa penyelewengan dalam kalangan kakitangan awam boleh mencemarkan imej dan prestasi keseluruhan Kementerian Hal Ehwal Sosial.

Yusuf menegaskan bahawa tidak hadir tanpa alasan adalah pelanggaran Peraturan Kerajaan No. 94 Tahun 2024 mengenai disiplin kakitangan awam. 

Selain daripada hukuman pentadbiran, pesalah juga boleh berdepan masalah kewangan termasuk pemotongan elaun prestasi. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |