Kanak-kanak baca doa untuk tuan rumah lepas beraya raih pujian

11 hours ago 6

PETALING JAYA – Tindakan sekumpulan kanak-kanak membaca doa sebelum pulang ketika pergi beraya mencuri perhatian ramai selepas video mereka tular di media sosial, baru-baru ini.

Menerusi hantaran yang dimuat naik @Nadiasamjohari, dia berkongsi kisah kanak-kanak yang mendoakan kesejahteraan tuan rumah sebelum beredar daripada kediamannya.

“Berikanlah keberkatan kepada tuan rumah ini. Semoga tuan rumah sekeluarga diberikan kesihatan yang baik, dilapangkan rezeki dan diampuni dosanya,” kata kanak-kanak tersebut.

Menurut pemilik video, dia berasa terharu dengan adab yang ditunjukkan kanak-kanak itu selain memuji cara didikan ibu bapa masing-masing.

“Bagus budak-budak ini, datang beraya, lepas makan nak (sebelum) balik baca doa untuk tuan rumah dulu. Alhamdulillah, bagus didikan emak bapak dia,” katanya di ruangan kapsyen.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen tersentuh dengan sikap yang ditonjolkan kanak-kanak tersebut, malah seorang pengguna menyifatkan didikan ibu bapa sebagai contoh terbaik dalam membentuk sahsiah anak-anak.

“Ya Allah, bagusnya anak macam ini. Hebat sungguh didikan ibu dan ayah anak ini. Semoga diberikan keberkatan hidup buat anak soleh ini,” katanya.

Sementara itu, seorang individu yang mengaku sebagai ahli keluarga kanak-kanak tersebut memaklumkan amalan membaca doa ketika beraya sudah menjadi kebiasaan dalam keluarga mereka.

“Anak buah dan anak-anak saya. Memang keluarga besar kami akan membaca doa untuk tuan rumah ketika beraya. Jadi anak-anak kami pun buat perkara sama ketika beraya di rumah orang lain,” ujarnya.

Perkongsian itu sekali gus menjadi peringatan kepada masyarakat mengenai pentingnya adab dan nilai murni dalam kehidupan seharian khususnya ketika menyambut Aidilfitri.

“Alhamdulillah, sejuk perut emak yang mengandung. Semoga menjadi anak soleh dunia akhirat,” balas @Kayhas5834.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |